Berdosa Besar Tolong Beli Makanan Untuk Orang Tak Puasa, Upahnya Haram


ALOR SETAR - Perbuatan seorang individu muslim yang mengambil upah dengan membeli makanan dengan tujuan membantu rakan-rakannya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan adalah berdosa besar dari sudut hukum Islam.

 Yang DiPertua Persatuan Ulama Kedah, Abdullah Din berkata, hukum berkenaan adalah bertepatan dengan firman Allah SWT yang jelas di dalam surah Al-Maidah, ayat 2, yang menegah keras umat Islam untuk membantu ke arah sesuatu yang menghasilkan dosa.

"Perbuatan itu adalah haram diri sudut hukum Islam. Ia merujuk kepada firman Allah yang menegah kita dari membabitkan diri dalam hal membantu ke arah sesuatu yang menjurus ke arah dosa.

“…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat seksaNya, surah Al-Maidah, ayat 2," jelas beliau ketika dihubungi Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Selain itu, Abdullah yang juga merupakan Mursyidul Am sebuah pertubuhan anti-Syiah kebangsaan, (PASAK) itu juga turut menegaskan bahawa upah yang diterima individu terbabit juga adalah haram hukumnya.

Baru-baru ini seorang bekas pekerja kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Zira, mengaku kepada media mengenai tindakannya mengambil upah membeli makanan untuk rakan-rakannya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan.

"Setiap kali bulan puasa saya boleh buat pendapatan sampingan hanya dengan ambil upah beli makanan kawan-kawan sekerja, boleh cecah ribuan ringgit," katanya.

Zira mendedahkan bahawa mengambil upah antara RM2 hingga RM3 bagi satu kepala setiap kali membeli juadah untuk rakan-rakan sekerjanya dan ia memberi pulangan lumayan kepadanya sebelum ini. - Kedahnews.com