KUALA KANGSAR - Setiap kali tibanya Aidilfitri, pulang ke kampung halaman dan beraya bersama keluarga tercinta adalah perkara paling menyeronokkan.
Namun, dalam kemeriahan menyambut Syawal, ada insan yang mengorbankan masa bersama keluarga demi tugas untuk agama, bangsa dan negara.
Itulah pengorbanan dilakukan anggota keselamatan setiap kali tibanya musim perayaan, mengorbankan kemeriahan Aidilfitri demi tugas dan masyarakat.
Sinar Harian berpeluang menyelami perasaan tiga anggota dedikasi ini masing-masing dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi Inspektor Mazly Samit, 36, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, masuk tahun ini, sudah empat tahun dia tidak pulang ke kampung halamannya di Kota Marudu, Sabah kerana mengutamakan tugas demi negara.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, isterinya menjadi peneman setia tatkala tibanya Aidilfitri lantas mengubat rindu kepada kampung halaman dan keluarga tercinta.
“Tipulah kalau saya kata tak sedih. Niat di hati memang nak balik ke Sabah, beraya bersama ibu dan keluarga. Namun apabila diarahkan untuk bertugas, saya akur dengan setiap arahan diberikan.
“Mujur ibu dan keluarga lain faham tuntutan kerja saya. Ada jugalah setiap tahun ibu telefon, tanya tahun ini balik kampung ke tak. Kalau saya kata tak balik, ibu faham saja. Tapi lepas ini kalau dapat cuti raya, insya-ALLAH saya akan balik beraya di Sabah. Rindu rasanya nak makan masakan ibu di pagi Syawal,” katanya.
Anak keenam dari lapan beradik ini berkata, hanya dia seorang merantau luar dari Sabah dan setiap kali Aidilfitri sejak beberapa tahun lepas, dia seorang sahaja yang tiada di kampung.
“Jadi, bila saya dapat balik, sambutan memang sangat meriah. Ibu, abang dan kakak saya yang lain akan masak pelbagai juadah untuk saya dan isteri.
“Saya akan balik ke Sabah juga nanti. Jika diarahkan bertugas, saya akan bertugas tanpa merungut. Jika diberi cuti, Sabah, kamu tunggu aku datang,” katanya berseloroh.
Berkongsi juadah raya bersama rakan setugas
Sama juga kisahnya dengan Muhammad Khalid Mohd Idris, 29, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar yang beraya bersama rakan setugas sejak beberapa tahun lepas kerana menyertai Op Selamat.
Menurutnya, meskipun sedih tidak beraya dengan keluarga namun kemeriahan Syawal masih terasa apabila mereka berkongsi juadah raya pada pagi Aidilfitri.
“Kami semua tak beraya jadi semua anggota bertugas beraya bersama, makan kuih raya bersama-sama, gelak tawa bersama. Itulah ‘raya’ kami, berbeza dengan orang lain.
“Namun, demi tugas kami relakan juga. Mujur keluarga juga faham jadi mereka banyak beri semangat. Kalau nak fikir sedih saja, nak buat kerja pun tak boleh,” katanya.
Bagi Nur Izzati Sabri, 23, anggota APM Kuala Kangsar ini turut berkongsi kerinduannya terhadap masakan arwah ibunya setiap kali tibanya Aidilfitri.
Menurutnya, arwah ibunya merupakan individu paling sibuk apabila menyambut Syawal dengan menyediakan pelbagai juadah untuk anak dan sanak-saudara.
“Bila arwah ibu tiada, memang terasa betul kehilangannya. Sekarang kalau raya dan diarahkan bertugas, saya terima saja. Kalau dulu mungkin berat sikit tetapi sekarang saya terima saja.
“Biasanya kalau nak hilangkan sedih dan bosan, kami sesama anggota akan wujudkan suasana raya di tempat kerja. Dengan cara itu, kuranglah rasa sedih,” katanya.
Sumber : Sinar Online