BANGKOK – Seorang wanita cantik Thailand yang pernah menjadi suspek utama kes pembunuhan kejam seorang pekerja bar di wilayah Khon Kaen kini berubah menjadi selebriti media sosial.
Ia berlaku tanpa diduga selepas gambarnya ketika dalam tahanan sering dimuat naik menerusi laman Internet.
Preeyanuch Nonwangchai, 24, atau dikenali sebagai Preaw ditahan polis bersama dua rakannya kerana disyaki membunuh sebelum memotong mayat seorang wanita, Warisara Koinjui pada bulan lalu.
Sejak ditangkap baru-baru ini, Preaw dan dua rakannya, Kawinta Ratchanda, 25, serta Apiwan Satayabundit, 28, sering dirakam memakai pakaian berjenama dan alat solek.
Anggota polis dan pegawai penyiasat kes berkenaan juga sering bergambar dengan suspek dan mereka malah memuat naik gambar itu melalui media sosial sehingga menjadi tular.
‘Kegilaan’ pengguna media sosial terhadap wanita itu terutama suspek utama menyebabkan fenomena aneh itu digelar sebagai ‘demam Preaw’.
Gabenor Khon Kaen, Pongsak Preechawit turut melahirkan kebimbangan mengenai fenomena berkenaan dan menyeru generasi muda supaya melihat kembali jenayah kejam yang dilakukan wanita itu.
“Saya bimbang kerana ramai generasi muda berbincang mengenai jenama produk yang suspek gunakan seperti beg tangan, cermin mata, pakaian dan alat solek.
“Generasi muda patut membaca kembali kisah jahat mereka dan jenayah kejam yang mereka pernah lakukan,” katanya kepada Bangkok Post, semalam.
Pengarah Institut Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja, Dr Mathurada Suwannapho memberitahu, sebahagian generasi muda mula mengagumi wanita berkenaan kerana tumpuan media berlebihan terhadap suspek.
“Kepantasan imej tersebar melalui media sosial boleh memperdaya golongan muda dan tidak berpengalaman untuk menganggap suspek sebagai idola,” jelasnya. – Agensi