Bomba Pulau Pinang Beku Cuti Pegawai Dan Anggota Sempena Op Selamat


BATU KAWAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang membekukan cuti 662 pegawai dan anggota daripada keseluruhan 826 anggotanya yang akan terlibat dalam Ops Selamat bermula dari 18 Jun hingga 2 Julai ini sempena sambutan Aidilfitri.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Saadon Moktar berkata 30 anggota terlibat akan ditugaskan mengikut tiga syif yang dipilih dari seluruh balai negeri itu dan mereka akan bertugas di Kilometer 128.5 (Selatan), Plaza Tol Sungai Dua.

"Sebenarnya kita bukan hanya bersedia di situ sahaja, malah kita juga membuat rondaan dari semasa ke semasa bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) Scania, jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan lain-lain peralatan daripada Tol Sungai Dua sehingga ke Tol Juru dan juga Simpang Ampat.

"Tujuan utama kita membuat rondaan dari semasa ke semasa untuk memastikan kita akan cepat sampai ke tempat kejadian sekiranya berlaku sebarang kecemasan di sepanjang lebuh raya di negeri ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Selamat di sini, semalam.

Beliau berkata banyak kes kematian di lebuh raya berpunca daripada tindakan lambat yang diambil oleh pihak-pihak berkenaan dan tindakan awal serta cepat akan dapat membantu menyelamatkan mangsa.

Dalam pada itu, Saadon menyeru orang ramai supaya memastikan suis utama elektrik kediaman dimatikan dan plag perkakasan elektrik yang tidak diguna dicabut daripada soket untuk mengelakkan berlakunya kebakaran.

"Hal ini kerana berdasarkan statistik JPBM negeri pada tahun lepas sebanyak 3,480 kes panggilan kebakaran dilaporkan dan daripada jumlah itu 297 kes adalah berpunca daripada elektrik," katanya.

Beliau berkata kesemua pegawai JPBM yang bekerja akan bertugas selama 24 jam secara bergilir bagi persediaan menangani insiden yang melibatkan kebakaran dan kerja-kerja penyelamatan seperti kemalangan jalan raya dan sebagainya. -BERNAMA