Bubur Lambuk Habis Dalam Masa 15 Minit!

Image result for Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin EDAR BUBUR LAMBUK

SUNGAI MANIK - Keistimewaan bubur lambuk yang diedarkan oleh Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mempunyai keunikan tersendiri malah kebiasaannya makanan berkenaan akan habis dalam masa singkat.

Seawal jam 4 petang penduduk daripada pelbagai kampung di Dun Sungai Manik sudah tiba di pekarangan Pusat Khidmat Dun Sungai Manik di Langkap bagi mengambil bubur lambuk yang diedarkan bermula jam 5 petang.

Apa yang menarik, tepat jam 5 petang Zainol Fadzi mula mengedarkan bubur lambuk berkenaan dan tidak sampai 15 minit seribu bekas bubur lambuk habis diambil orang ramai.

Menurut Zainol Fadzi, sudah menjadi tradisi beliau mengedarkan bubur lambuk pada hari Jumaat dalam bulan Ramadan setiap minggu dan penduduk Sungai Manik sudah mengetahui mengenainya.

"Saya tidak tahu apa istimewanya bubur lambuk yang saya edarkan ini sehingga begitu ramai yang menggemarinya, tetapi apabila saya bertanya kepada orang ramai mereka memaklumkan bahawa ia sedap.

"Jika benar Alhamdulillah dan saya harap mereka habiskan bubur yang diambil dan bukan diambil kerana melihat orang ramai beratur semata-mata jadi mereka pun tidak melepaskan peluang," katanya kepada Sinar Harian selepas mengagihkan lebih 1,000 bekas bubur lambuk Jumaat lalu.

Sumber: Sinar Harian