KEPALA BATAS - “Dia terjatuh di koridor sebelum kakinya terjuntai keluar dan dalam sekelip mata dia terjatuh pula ke bawah,” kata Muhd Fakruzi Samsudin, 27, menceritakan detik cemas menimpa anak lelakinya berusia dua tahun yang patah paha kiri akibat terjatuh dari tingkat satu asrama Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.20 pagi, mangsa, Muhd Firash Mikail yang juga anak sulung Fakruzi terjatuh dari tingkat satu bangunan asrama itu ketika menghantar ibu saudaranya pada sesi pendaftaran pelajar baru KMPP, Isnin lalu.
Fakruzi berkata, ketika itu dia berada di tingkat satu asrama yang menempatkan bilik adik perempuannya sebelum diminta hadir ke sesi taklimat waris di tingkat bawah asrama.
Katanya, dia ke KMPP bersama adik serta orang tuanya dan turut membawa Muhd Firash bersama berikutan isteri, Che Nurshazwani Che Kamarul, 27, bekerja.
“Ibu meminta saya hadir bagi sesi taklimat waris pelajar yang diadakan di tingkat bawah asrama dan ketika itu anak saya ada bersama.
“Saya sempat mengambil gambar Muhd Firash menggunakan telefon bimbit untuk dihantar kepada isteri bagi memberitahu apa dilakukan anak kami sepanjang berada di situ,” katanya.
Menurutnya, dia memimpin tangan anaknya yang berjalan di tepi pagar di koridor menuju ke tangga untuk turun ke tingkat bawah asrama.
“Sebelum sampai ke tangga, anak saya terjatuh kerana tersadung kaki saya sebelum dia cuba bangun.
“Ketika mahu bangun, dia berpusing dengan kakinya terjuntai keluar dari koridor lalu saya cuba memegang tangannya, namun tidak sempat sebelum dia terjatuh dalam keadaan berdiri,” katanya.
Menurutnya, Tuhan saja mengetahui perasaannya ketika itu dan hanya sempat menjerit ‘Allahuakbar’ ketika melihat anaknya terjatuh.
Katanya, sebaik terjatuh, orang ramai di tingkat bawah asrama panik sebelum dia bergegas turun dan melihat keadaan anaknya.
“Saya mengangkat Muhd Firash dan memeriksanya jika ada pendarahan berlaku sebelum mendapati tiada pendarahan serius.
“Anak saya ketika itu menangis kerana kesakitan kerana paha kirinya patah selepas terjatuh dalam keadaan berdiri. Saya membawanya ke Hospital Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Bandar Perda.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati anak saya patah paha dan disimen dari bahagian pinggang hingga kaki,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyalahkan sesiapa dalam kejadian itu, malah rasa bersalah kerana tidak mengawasi anaknya walaupun menyedari ruang pagar koridor asrama itu besar dan berbahaya untuk kanak-kanak kecil.
Katanya, pada masa sama dia juga tidak membuat laporan polis susulan kejadian serta memohon KMPP mengubah suai pagar di asrama kolej berkenaan supaya lebih selamat kepada orang ramai terutama kanak-kanak bagi mengelak perkara sama berulang.
Sumber: Harian Metro