PERNAH hidup susah pada zaman kecilnya, pelakon Syafie Naswip memberitahu sekarang bukanlah waktu untuk dia memikirkan soal pasangan hidup sebaliknya perlu membahagiakan orang tuanya terlebih dahulu.
Syafie, 25, berkata, dia meletakkan sasaran pada usia 28 sehingga 30 tahun untuk bersedia melangkah ke alam rumah tangga.
"Cukup untuk saya katakan, saya mahu membahagiakan orang tua saya terlebih dahulu. Sudah waktunya saya lakukan perkara ini setelah lebih 10 tahun bergelar anak seni.
"Soal kahwin, InsyaAllah tiga hingga lima tahun dari sekarang. Saya masih selesa dengan status solo tanpa kekasih," ujarnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, kata Syafie, dia tidak pernah menentukan adakah dia akan memilih orang dalam industri sebagai pasangan hidup nanti atau sebaliknya.
"Inilah waktunya saya mahu membalas jasa orang tua," kata Syafie.
"Bagi saya kalau hati dah berkenan, ada keserasian dan tidak bertepuk sebelah tangan, saya terima siapa pun jodoh itu selagi dia menghormati saya dan ibu-bapa saya," ujarnya tersenyum.
Di satu sisi, pelakon telefilem Kembalikan Syawalku ini juga mempunyai pandangan peribadi apabila ditanya sejauh mana dia bersetuju dengan cinta lokasi dan fenomena hashtag yang berlaku pada hari ini.
Malah dirinya pada satu ketika pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta bersama pelakon Nadia Brian hanya kerana berlakon bersama.
"Apa yang dapat saya katakan, selalunya ia adalah strategi produksi atau pelakon itu sendiri untuk mempromosikan sesuatu karya dan kalau benarpun wujud cinta lokasi, itu hak peribadi.
"Jujur, saya tidak pernah melalui situasi itu kerana pada saya kerja adalah kerja dan gosip bersama Nadia dulu pun hanyalah satu gimik untuk mempromosikan drama Sape Dari Itali yang disiarkan pada Mac lalu di TV2," katanya.
Sumber : Mstar Online