Bulan Depan Tiada Lagi Ahli PKR Dalam Kerajaan PAS Kelantan


PETALING JAYA - Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan Kelantan pimpinan PAS akan meletak jawatan akhir Julai nanti, kata Presidenya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata mereka belum melepaskan jawatan disebabkan beberapa isu teknikal termasuk menyelesaikan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Masalah ini akan diselesaikan,” katanya yang menambah PKR pusat sudah berjumpa dengan PKR Kelantan.

“Memandangkan sekarang suku tahun, pentadbiran Kelantan perlu melakukan kerja mereka mengikut prosedur  yang ditetapkan, jadi mereka perlu menunggu sehingga suku pertengahan tahun (untuk melepaskan jawatan),” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat PPBM semalam.

Beliau menjangkakan kerja yang belum siap dapat diselesaikan akhir bulan Julai.

Pada 17 Mei lalu PKR  memutuskan supaya semua ahli lantikan politik dalam kerajaan Kelantan meletak jawatan selepas PAS membatalkan kerjasama dengan PKR.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga kini lantikan politik yang diberikan kepada PKR berjalan seperti biasa.

Isu itu timbul susulan keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan PKR, walaupun parti Islam itu bertegas kekal dalam kerajaan Selangor yang turut disertai PKR dan DAP.

Sumber: FMT