Bulu Mata LED Macam Lampu Kelip Kelip


STOCKHOLM – Anda mungkin sudah biasa dengan light-emitting diode (LED) yang kini lazim terdapat pada kebanyakan televisyen atau skrin telefon bimbit.

Namun bagaimana pula dengan bulu mata LED? Itulah antara ciptaan teknologi terbaharu Sweden yang sedang mendapat perhatian dalam dunia teknologi, dipanggil F.Lashes.

Ia dicipta oleh seorang pereka produk kecantikan berasaskan teknologi bernama Tien Pham. Lihat rakaman video di bawah ini untuk mendapatkan gambaran sebenar produk tersebut.

Bayangkan, teknologi canggih ini bakal membolehkan anda tidak lagi perlu mengenakan maskara tebal pada bulu mata anda untuk mendapatkan kesan tertentu pada mata anda.

Mungkin tidak lama lagi anda boleh menggunakan bulu mata LED ini untuk kelihatan menawan, kerana bulu mata anda bukan sahaja bersinar terang, malah ia juga berkelap-kelip.

Tidak mustahil, suatu hari nanti, bukan rumah-rumah orang Melayu sahaja yang akan berkelap kelip sempena Syawal. Malah bulu mata anda juga akan ada lampu ‘lip lap’ mini tersendiri seperti itu.

Laman sesawang Digit.in melaporkan, bulu mata LED ini terdapat dalam tujuh warna, iaitu merah jambu, merah, biru, biru muda, putih, kuning dan hijau tetapi harganya tidak dinyatakan buat masa ini

Lampu LED mata bulu mata itu juga boleh bergerak mengikut pergerakan kepala anda. Jika anda menari, ia akan berkelap kelip. Pendeknya ia cukup bijak untuk mengikut pergerakan tubuh anda.

Ia disambungkan kepada bateri yang kecil yang diletakkan di bahagian belakang kepala pengguna dan ada suis hidup/mati. Bateri F.Lashes buat masa ini boleh bertahan selama empat jam! – Agensi