Buruh Dipenjara Kerana Rompakan Senjata


KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman berkenaan setelah tertuduh, Zulkifli Che Jid, 30, yang berasal dari Besut, mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, pada 23 Mei lalu, kira-kira jam 12 malam di stesen minyak Caltex, Kampung Alor Lintang, Besut, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas, telah melakukan rompakan berkumpulan dengan melarikan sebuah motosikal milik Raja Mohamed Zulhilmi Raja Mohamed Zulkifli, 27.

Semasa melakukan rompakan itu, tertuduh bersenjatakan senjata yang boleh membawa maut, iaitu sebilah parang. Dengan itu, dia telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan sebat jika didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di depan stesen minyak itu, dia dihampiri dua lelaki yang tidak dikenali.

Kedua-dua lelaki berkenaan yang menutup sebahagian daripada mereka kemudiannya meminta kunci motosikal mangsa, sebelum merampas motosikal berkenaan. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja.

Sumber: Sinar Harian