Calon PM Pakatan: PKR Tidak Konsisten, Wan Azizah Pula Buat 'U Turn'


ALOR SETAR - Pendirian PKR juga tidak konsisten berhubung kedudukan calon Perdana Menteri.
Semuanya angkara Presiden PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad menawarkan diri ingin kembali menjawat kedudukan itu selepas 15 tahun bersara. 

Hanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang 'konsisten' pendirian mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Ke-7 jika Pakatan Harapan menang PRU14. 

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang tentunya mempunyai sebab tersendiri untuk menyatakan perkara itu kerana kekuatan DAP di Pulau Pinang dan Selangor banyak bergantung pada PKR. 

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pun terpaksa membuat pendirian berbeza selepas dikecam susulan mencalonkan suaminya, Anwar sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu.

Bukan sahaja Dr. Wan Azizah membuat 'pusingan U' berhubung kedudukan calon Perdana Menteri, anaknya Nurul Izzah juga senada apabila bapanya menolak tawaran itu. 

Anggota DAP, Datuk Zaid Ibrahim pula mencalon Dr. Mahathir untuk jawatan itu dalam kabinet bayangannya.

Wan Azizah membuat pusingan-U apabila kini mengatakan sesiapa sahaja boleh menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan dan memberi alasan tumpuan sepatutnya diberikan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Kita mesti menang terlebih dahulu sebelum bercakap tentang perdana menteri. Sesiapa jua boleh menjadi perdana menteri, walaupun anda (wartawan) boleh jadi perdana menteri,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya semalam.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Penerangan PAN, Khalid Samad yang berkata Anwar sebenarnya mahu pakatan itu menumpukan seluruh perhatian untuk menawan Putrajaya.

“Saya fikir sebab utama Anwar umumkan beliau tidak akan menawarkan dirinya sebagai calon perdana menteri adalah supaya perbincangan (calon perdana menteri Pakatan Harapan) tidak perlu dibuat sekarang,” jelasnya.

Pada 12 Mei lalu dalam satu wawancara, Wan Azizah mengakui akan hanya menjadi pemimpin sementara untuk menunggu Anwar keluar daripada penjara dan kemudiaan memberi laluan untuk menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun Anwar dalam satu kenyataan dari penjara baru-baru ini menyatakan hasrat menarik diri daripada menjadi calon Perdana Menteri dan mahu keputusan itu dicapai secara konsensus oleh PH dan bukan satu-satu parti sahaja.

Kontroversi calon perdana menteri pembangkang bermula sejak 21 Mei lalu semasa Kongres Nasional PKR selepas pimpinan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mengangkat plakad menyokong Anwar menjadi pilihan perdana menteri PH pada PRU14.

Selepas peritiwa itu Dr. Mahathir mengulangi kesediaannya untuk 'kembali berkuasa' walaupun pun sementara semasa bercakap di Tokyo Jepun. 

Dr. Wan Azizah pun mengakui mahu menjadi Perdana Menteri sementara sebelum Anwar dibebaskan.

 Ramai yang faham untuk siapa jawatan Perdana Menteri itu hendak diserahkan oleh Dr. Wan Azizah mahupun Dr. Mahathir apabila tiba masanya. - Kedahnews.com