Calon PM Pembangkang: PAS Tak Perlu Menyibuk Urusan Pakatan - PAN


ALOR SETAR - PAS tidak perlu menyibuk untuk campur tangan urusan dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung cadangan mencalonkan bakal Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Anuar Tahir berkata, PAS tidak lagi berada dalam pakatan pembangkang dan kini bergerak sendirian, jadi tidak perlulah masuk campur urusan parti-parti dalam PH. 

"Betullah PAS tidak perlu fikir Perdana Menteri akan datang, barang kali mungkin dia mahu Datuk Seri Najib Razak terus kekal," kata Anuar yang tidak faham apa mesej yang hendak disampaikan oleh  Presiden part itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  kepada ahli dan penyokong PAS.

Beliau meminta Abdul Hadi tidak bersusah payah lagi  ambil berat apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang kerana PAS tidak lagi  terlibat dalam gagasan politik yang besar.

Menurut Anuar lagi , dalam sistem demokrasi, siapa yang menang besar dalam pilihan raya dan mendapat sokongan majoriti Parlimen,  berhak untuk menentukan  Perdana Menteri dan boleh mendapat perkenan  Yang di-Pertuan Agong.

Baru-baru ini Abdul Hadi dalam kenyataannya berkata,  ketika parti-parti lain sedang berjuang menghadapi pilihan raya akan datang begitu galak menamakan calon Perdana Menteri, PAS pula tidak mencalonkan sesiapa.

Dalam pada itu Abdul Hadi menyindir  mereka yang dahulunya adalah 'pemimpin jadian' dalam parti itu yang ‘berwirid’ dengan nada serupa tetapi kini telah pun meninggalkan PAS.

Isu siapa berhak menjadi Perdana Menteri bertambah menarik apabila bekas Pengerusi PPBM,  Tun Dr. Mahathir Mohamad menawarkan diri dengan sedia mempertimbangkan jawatan tersebut  jika dimahukan  oleh rakan dalam Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan  tidak bersetuju dengan Dr. Mahathir kerana seseorang individu tidak boleh menamakan diri sendiri sebagai Perdana Menteri, sebaliknya  perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada Pakatan Harapan. 

Kenyataan terbaharu Dr Mahathir pula menyebut, beliau hanya akan menerima jawatan itu (Perdana Menteri) atas persetujuan bersama dan lantikan itu  mungkin hanya untuk sementara sahaja. -Kedahnews.com