"Car Food Sahur" Di Pantai Batu Buruk Tarik 1,000 Pengunjung


KUALA TERENGGANU - Meriah! Itu yang dapat dirasai oleh pengunjung jika berkunjung ke bazar makanan jalanan 'Car Food Sahur' di Pantai Batu Buruk, di sini.

Sejak mula beroperasi 5 Jun lepas, bazar sepanjang 500 meter itu yang diwujudkan sempena kedatangan bulan Ramadan ini tidak henti-henti menerima pengunjung yang ingin bersahur dalam suasana santai dan ditemani angin laut Pantai Batu Buruk.

Juadah yang disediakan para peniaga juga tidak kurang menyelerakan dan pengunjung boleh memilih untuk bawa pulang atau duduk bersila bersama rakan-rakan atau anggota keluarga di atas hamparan tikar yang disediakan pihak penganjur.

Wakil peniaga 'Car Food Sahur', Aril Anif Abd Razak, 31, berkata sejak diwujudkan pada tahun 2015, bazar kali ini menerima pengunjung paling ramai iaitu hampir 1,000 orang pada satu malam, terutama hujung minggu.

Untuk edisi kali ketiga ini katanya seramai 20 usahawan di sekitar bandar raya ini terlibat dan menyediakan pelbagai menu tempatan, makanan barat dan tradisional.

"Pada tahun ini kita minta peniaga fokus kepada makanan tradisional Terengganu sebab ramai pengunjung dari luar yang ingin merasa sendiri makanan tradisi rakyat Terengganu.

"Setakat enam hari bazar ini dibuka kepada orang ramai, sambutan yang diterima memang di luar jangkaan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Jika hujung minggu, pengunjung boleh meningkat dua kali ganda.

"Tapi orang ramai tidak perlu risau untuk mendapatkan tempat kerana kawasan ini boleh memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung pada satu malam," katanya ketika ditemui di sini, awal pagi semalam.

Aril berkata, antara menu tradisi yang menjadi tarikan pengunjung di sini ialah pulut gaul nyior (kelapa), kuih cara berlauk dan gula, keropok lekor, nasi minyak serta nasi dagang.

"Seperti tahun sebelum ini, sebahagian kutipan daripada jualan program ini akan diserahkan kepada badan-badan amal di sekitar bandar raya ini dan untuk tahun ini kita bercadang untuk turut memberi sumbangan kepada seorang anggota keluarga 'busker' yang meninggal dunia baru-baru ini," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan umur tetap sanggup beratur panjang 10 hingga 20 minit untuk mendapatkan makanan kegemaran masing-masing yang dipesan daripada peniaga di bazar itu.

Gerai yang turut diserbu pengunjung ialah milik selebriti 'mat salleh' yang fasih bercakap loghat Terengganu iaitu 'Mat Dan' atau nama Islamnya Kareef Daniel Abdullah yang menjual mi goreng, kuih ghopa (martabak mini) dan brownies bersama isterinya.

Ketika ditemui pemberita, Mat Dan dilihat tidak kekok melayan pelanggan dan para peminat yang ingin datang menyapa dan berswafoto dengan selebriti itu.

Katanya, penglibatan beliau dan isteri dalam bazar sahur itu adalah kerana tertarik dengan konsep yang diketengahkan iaitu berniaga dalam suasana santai dan pada masa sama dapat menyumbang kepada golongan yang kurang berkemampuan.

"Lagipun dalam bulan Ramadan ini saya mengurangkan aktiviti seni untuk bersama-sama keluarga mentua dan isteri di Kuala Terengganu. Sambil-sambil tu kami pun ambil kesempatan meniaga di sini sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Bagi pengunjung yang berkesempatan ke Kuala Terengganu, bazar ini diadakan hingga 22 Jun dan waktu operasi dari pukul 12 tengah malam hingga masuk waktu imsak. - BERNAMA