China Serah 100 Senarai Syak Penjenayah


PUTRAJAYA - Kerajaan China hari ini menyerahkan senarai nama 100 warganegaranya yang disyaki terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah kepada Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua individu terbabit disyaki berada di negara-negara ASEAN termasuk Malaysia. 

Sehubungan itu, Malaysia khususnya melalui Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan dan menghantar mereka pulang ke negara asal sekiranya didapati berada di negara ini. 

“Antara jenayah yang didakwa dilakukan oleh 100 individu itu adalah penipuan telekomunikasi, terlibat dengan kegiatan pengganas, dadah dan jenayah rentas sempadan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun dan delegasinya yang kini dalam lawatan kerja selama tiga hari sejak Rabu lalu. 

Timbalan Perdana Menteri dan Shengkun terdahulu mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama kali ketiga berhubung jenayah rentas sempadan.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut memaklumkan, sehingga 31 Disember lalu, seramai 248 rakyat Malaysia kini ditahan di penjara China atas pelbagai kegiatan jenayah.

Sumber :Utusan Online