BUTTERWORTH - Bulan Ramadan seharusnya dihormati dan dipelihara kesuciannya, namun lain pula yang berlaku di beberapa lokasi sekitar daerah Seberang Perai Utara apabila suasananya tidak menggambarkan bulan penuh keberkatan ini.
Dikunjungi pelbagai peringkat umur, itu antara keadaan beberapa lokasi di sekitar Kepala Batas ini.
Bukan jualan barangan basah atau jualan murah, tapi ia merupakan suasana di beberapa gerai makanan yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.
Tindakan peniaga-peniaga menjual makanan dipercayai bermula sejak jam 9 pagi, sekali gus menampakkan suasana seperti bulan biasa, langsung tidak menggambarkan suasana Ramadan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi di kawasan ini mendapati, peniaga-peniaga terlibat bagaikan tidak peduli dengan Ramadan ini.
Tiada sedikit pun rasa takut atau gentar, apabila gerai-gerai ini menjadi tumpuan pembeli dari kalangan masyarakat Melayu.
'Geng tidak puasa' ini dengan selambanya membeli makanan tanpa sedikit rasa bersalah atau fikirkan tentang keadaan sekeliling.
Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal berkata, keadaan itu merupakan perkara biasa pada bulan Ramadan.
“Sini kebanyakan yang beli depa yang pergi ke laut, memang nak kata salah depa seratus peratus tak boleh, faham sajalah, nelayan ni kerja dia penat perlu tenaga yang banyak.
“Tapi peniaga pun sama, jual secara terbuka begitu saja, langsung tak ada lindung walau sikit pun ini yang kita hairan sepatutnya, hormat la sikit bulan puasa ini," katanya.
Katanya, bukan itu saja, malahan gerai-gerai yang menjual secara terbuka ini beroperasi sejak dari jam 9 hingga 10 pagi.
“Bukan tak boleh berniaga, berniagalah tak ada siapa yang melarang, cuma dalam bulan Ramadan ni, apa kata mula berniaga lambat sedikit, kita tak boleh salah kepada orang yang beli sepenuhnya, yang berniaga pun kalau tak berniaga dia nak beli daripada siapa.
“Saya tak tinggal sini, tapi selalu datang sini beli ikan, bila lihat keadaan macam ni kita jadi sedih, manakan tidak ini Ramadan, kalau dah kita sendiri tak hormatinya siapa lagi,” katanya.
Dalam masa yang sama, difahamkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAINPP) turut memberi amaran kepada masyarakat beragama Islam di negeri ini agar menghormati kesucian bulan Ramadan.
Kain rentang yang memaparkan mengenai amaran dan tindakan tegas kepada mereka yang tidak menghormati Ramadan turut diletakkan di beberapa masjid di sekitar kawasan Seberang Perai Utara ini.
Mengikut peruntukan yang ada, mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah negeri Pulau Pinang 1996 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.
Aktivis Masyarakat, Noor Hasni Saad berkata, kesucian dan kehormatan Ramadan ini seharusnya dipelihara.
“Kalau kita lihat dari segala sudut, dalam masa 12 bulan hanya sebulan saja buka lambat, buka la dalam pukul tiga, pada saya tindakan berniaga sewenangnya satu perbuatan yang tak menghormati bulan puasa.
“Dalam soal ini, bukan kita nak salah mana-mana pihak, kalau nak salah orang beli tak boleh, selagi kedai buka orang akan beli, tak boleh salah pada satu pihak semata-mata, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian