Doakan Kesihatan Adra Medina


KUALA LUMPUR - Penyerang Perlis, Mohd Alafi Mahmud mengharapkan pembedahan jantung anaknya pada Sabtu ini berjalan lancar.

Mohd Alafi, 32, memberitahu, anak perempuannya yang berusia sebulan, Adra Medina bakal menjalani pembedahan pertama di Institut Jantung Negara (IJN) selepas disahkan mengalami masalah jantung baru-baru ini.

Jelasnya, sebelum ini dia tidak menduga bahawa Adra mengalami masalah kesihatan memandangkan bayinya itu kelihatan sihat.

"Saya balik ke sini (kediamannya di Sungai Buloh) selepas mendapat cuti latihan (Perlis) selama empat hari untuk membawa anak ke hospital bagi mendapatkan suntikan bulanan bayi.

"Seperti biasa, anak kelihatan sihat, namun doktor memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan anak saya.

"Selepas mendapatkan pemeriksaan rapi, saya diberitahu Adra mengalami masalah jantung dan memerlukan rawatan segera.

"Masa tu saya dan isteri sangat terkejut. Tak sangka anak menderita sakit jantung," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Susulan berita tersebut, Mohd Alafi perlu menyediakan lebih kurang RM100,000 bagi menjalani dua pembedahan dan rawatan susulan.

Dengan bantuan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang membantu menyebarkan maklumat untuk kutipan dana bagi menampung kos pembedahan dan ramai pihak yang tampil membantunya.

Ia termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bermurah hati menampung sepenuhnya kos pembedahan pertama adik Adra.

"Hari ini anak saya dimasukkan ke IJN bagi persiapan pembedahannya esok. Saya harap semuanya berjalan lancar.

"Jutaan terima kasih kepada presiden FAM dan semua pihak yang membantu saya menghadapi kesukaran ini.

"Doa yang baik-baik untuk anak saya," ujarnya yang kedengaran sayu dihujung perbualan

Sumber : Mstar Online