Dua Ditahan Positif Dadah Dalam "Op Samseng Jalanan" Di Alor Setar


ALOR SETAR - Polis menahan dua lelaki dipercayai positif dadah jenis syabu dalam 'Op Samseng Jalanan' yang diadakan pada malam raya di dua lokasi berasingan di sekitar Alor Setar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah Supt Zahari Mohamed berkata dua lelaki berkenaan yang berumur 36 dan 20 tahun ditahan semasa pemeriksaan motosikal di Jalan Pekan Cina dan Jalan Pegawai sekitar pukul 11.30 malam hingga 5 pagi tadi.

"Kedua-dua suspek telah ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam operasi itu, sebanyak 267 motosikal diperiksa dan 22 motosikal disita.

"Sebanyak 137 saman telah dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan dan tidak memakai topi keledar," katanya. - BERNAMA