Dua Lelaki Bertindak Agresif Di Berkas Polis Di Sik


ALOR SETAR - Dua remaja yang bertindak agresif sewaktu pihak polis mahu menjalankan pemeriksaan terhadap mereka telah memaksa pihak berkuasa itu melepaskan tiga das tembakan sebelum penahanan terhadap mereka dilakukan.

Masing-masing yang berusia 22 dan 16 tahun menghalang sepasukan pegawai dan anggota ‘Pasukan Khas Lejang’, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang menghampiri kereta Proton Iriz dipandu suspek berusia 22 tahun untuk diperiksa di sebuah stesen minyak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, kejadian berlaku di Kampung Merbau Kudung, Sik, petang semalam kira-kira jam 2.21 petang.

“Sebaik pegawai dan anggota kami memperkenalkan diri, pemandu bertindak mengundurkan keretanya sehingga melanggar kereta peronda polis mengakibatkan kerosakan di bahagian depan.

“Bagi mempertahankan diri dan menghentikan tindakan agresif itu, anggota pasukan telah melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar Proton Iriz tersebut sebelum dapat menahan kedua-dua suspek,” katanya.

Hasil pemeriksaan terhadap mereka dan kenderaan terbabit telah menemukan beberapa barangan terlarang iaitu tiga peket straw kecil berisi dadah dipercayai heroin, sebilah parang dan pisau kecil serta sehelai baju, seluar dan kasut askar.

“Suspek berusia berusia 22 tahun mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 411 serta 420 Kanun Keseksaan dan sememangnya dikehendaki polis sementara suspek kedua yang merupakan pelajar sekolah tingkatan tiga tidak mempunyai rekod jenayah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati Proton Iriz dinaiki kedua-dua mereka merupakan kenderaan curi. Kes disiasat mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta  Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1958,” katanya. - Kedahnews.com