Dua Lelaki Diikat Pada Pokok Gara-Gara Curi Kelapa


SITIAWAN - Gara-gara mencuri kelapa, dua lelaki menerima padah apabila orang kampung bertindak menangkap dan mengikat mereka pada sebatang pokok kelapa sebelum diserahkan kepada anggota polis di kawasan Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kampung Tersusun Batu 7 Lekir, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, beberapa orang kampung berjaya mencekup kedua-dua individu itu yang tidak menyedari pergerakan mereka memanjat pokok kelapa setinggi lima meter diperhatikan seorang pemilik kedai runcit berhampiran sekolah berkenaan.

Bekas ketua kampung, Mohd. Yaacob Hashim, 65, berkata, sebaik menerima maklumat, beliau bersama 10 penduduk lain bergegas ke lokasi dan mendapati seorang daripada suspek sudah berada di dalam kereta Proton Wira manakala seorang lagi mahu ke kedai berhampiran.

"Di dalam kereta itu terdapat beberapa tandan buah kelapa dan saya tidak pasti buah itu diambil di kampung ini sendiri atau tempat lain.

"Mereka mengaku mengambil kelapa itu dan sebaik kami terus menangkap dan mengikat kedua-duanya pada pokok kelapa menggunakan tali yang mereka guna untuk menurunkan kelapa dari pokok," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - Bernama