Dugaan Raya Aida: Klip Raya TNB 2017 Papar Erti Kasih Keluarga


KUALA LUMPUR – Saban tahun menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai yang menanti kemunculan pelbagai klip video dan iklan raya khususnya daripada syarikat korporat yang biasanya menyuntik pelbagai emosi.

Terbaharu, syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertontonkan iklan raya 2017 yang mengekalkan konsep komedi santai namun penuh makna melalui kisah ‘Dugaan Raya Aida’.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam majlis pratonton kempen media itu berkata pihaknya berharap dapat menyampaikan mesej bahawa dalam apa jua keadaan, setiap detik bersama keluarga harus dihargai.

Menerusi teknik penceritaan ringkas dan penuh emosi, syarikat utiliti negara berkenaan menerapkan mesej kekeluargaan dan bukannya kebendaan, dalam kempen tiga minggu itu yang bermula semalam.


Dalam klip berdurasi empat minit yang ditayangkan pada majlis itu, penonton dapat melihat gelagat mencuit hati watak Aida dan dugaan yang perlu dilaluinya menjelang musim perayaan seperti membuat kuih raya selain menyiapkan lambakan tugas di pejabat ketika sedang berpuasa.

Roslan ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata klip tersebut akan dipaparkan menerusi laman web www.youtube.com/tenagaofficial bermula hari ini, manakala versi pendek klip itu yang berdurasi seminit akan mula disiarkan di kaca televisyen mulai 22 Jun ini.

Selain itu, beliau berkata TNB turut menghasilkan video muzik berjudul ‘Ceria di Hari Raya’ untuk kempen itu yang mendapat sentuhan baharu daripada lagu ‘Suasana Hari Raya’ dendangan Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dalam bentuk lirik berbeza.

TNB juga menerbitkan satu siri video digital resepi bertajuk ‘Kuih Raya Aida’ agar orang ramai boleh berkongsi resepi kuih raya yang dihasilkan watak Aida dalam klip video itu.

“Kita galakkan orang ramai untuk berkongsi bakat membuat kuih raya ciptaan sendiri atau menggunakan resipi Aida dan menghantarnya dalam talian dengan hashtag #DugaanRaya dan #TNBRAYA2017,” katanya.

Iklan tersebut mendapat sentuhan agensi pengiklanan terkenal Leo Burnett Malaysia (LBM) dengan kerjasama syarikat produksi Reservoir World Sdn. Bhd. arahan pengarah filem Quek Shio Chuan.

Pengarah Seni Kanan LBM, Hyrul Anuar berkata beliau mendapat inspirasi untuk menghasilkan penceritaan klip itu bersandarkan kisah kakaknya yang bertungkus lumus bekerja di kilang kuih raya demi membesarkan mereka 12 beradik.

“Saya mendramakan kisah kakak saya dalam iklan ini yang secara keseluruhannya mengambil masa dua bulan pembikinan termasuk post-production (selepas produksi),” katanya. – BERNAMA