Duka Pelarian Marawi Sambut Aidilfitri


BANDAR ILIGAN - Berbaki sehari sahaja la­gi sebelum umat Islam me­nyam­but Aidilfitri, penduduk Marawi khususnya yang ditempatkan di pusat pemindahan di Buru-un dekat sini ‘tidak memiliki apa-apa’ untuk meraikan perayaan tersebut.

Bersesak-sesak di dalam pusat pemindahan tersebut, seorang penduduk, Malamit Ma­liwao mengimbau kelaziman setiap kali Aidilfitri apabila me­reka akan memberi wang kepada kanak-kanak, jiran dan pendakwah.

Namun perkara itu tidak dapat dilakukan kerana nasib yang menimpa, dengan pertempuran antara pihak tentera dan militan Maute di Marawi sudah berlanjutan selama sebulan.

Menurutnya, walaupun menjalani ibadah puasa dengan pelbagai kesukaran termasuk kem yang panas dan berbau busuk, persiapan menyambut Aidilfitri disifatkan ‘lebih teruk’ untuk mereka.

“Kami boleh berbuka puasa dengan ikan sardin dan mi segera tetapi sukar difikirkan untuk menyambut Aidilfitri dengan makanan yang sama,” katanya yang dilaporkan oleh portal Inquirer.

Lalay Sultan Malo, 47, pula berkata, tahun ini adalah kali pertama dia dan keluarga menyambut Aidilfitri di pusat pemindahan tersebut.

Ibu kepada enam anak itu memberitahu, Aidilfitri tahun lalu disambut de­ngan meriah tetapi pada tahun ini mereka ‘kehilangan segala-galanya’.

“Anak-anak tidak mempunyai baju baharu malah kami tiada telekung untuk solat,” katanya.

Lalay memberitahu, dua buah khemah sumbangan Pejabat Pembantu Presiden mungkin menjadi tempat mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri, bukan di masjid di Marawi.

“Bagaimana kami mahu me­raikannya dengan meriah dalam keadaan begini kecuali jika kami boleh pulang,” kata­nya.

Walau bagaimanapun jurucakap Pejabat Kebajikan Sosial Bandar Iligan, Evelia Sumiel berkata, pihaknya akan menyediakan pelbagai aktiviti pada Aidilfitri nanti.

Mereka akan menyediakan telekung, pakaian dalam dan pakaian ‘malong’ untuk golongan wanita selain makanan.

Sementara itu, jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Krisis Marawi, Zia Alonto Adiong memberitahu, penduduk Marawi yang ditempatkan dalam ba­ngunan kerajaan di bandar itu memerlukan makanan menje­lang Aidilfitri ini.

“Kami memerlukan peruntukan dan yang paling utama adalah makanan kerana apabila ber­akhirnya bulan Ramadan kami perlu mengagihkan makanan tiga kali sehari,” katanya.

Dalam pada itu, Australia telah menghantar dua pesawat pengintip ke bandar itu bagi membantu Filipina memerangi kumpulan militan Maute.

Menteri Pertahanan, Marise Payne menerusi e-mel memaklumkan, kerajaan Filipina telah menerima tawaran negaranya untuk menghantar pesawat AP-3C Orion.

Sumber: Utusan Online