GEORGE TOWN - Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) akan menganjurkan persidangan industri penganjuran acara perniagaan edisi kedua, BE@Penang, pada 7 hingga 8 Disember tahun ini untuk menggalakkan hubungan dan kerjasama penggiat industri.
Penganjuran yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE itu turut bertujuan menjadikan negeri itu sebagai destinasi perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin berkata perancang mesyuarat, syarikat pengurusan destinasi, penganjur persidangan profesional, pembekal serta pemilik dan pembeli Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) dari seluruh dunia yang berminat menjalankan perniagaan di Pulau Pinang dialu-alukan menyertai persidangan tersebut.
"Roy Sheppard, seorang pakar pemudah cara seminar antarabangsa, moderator dan penceramah akan menjadi tumpuan utama dalam acara tersebut," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, acara tersebut, yang menarik 120 delegasi pada tahun lepas, akan menghimpunkan individu perniagaan tempatan dan antarabangsa ternama pada penganjuran kali ini.
BE@Penang, turut akan menampilkan beberapa penceramah dan pakar industri terkemuka.
Antara topik yang akan dibincangkan adalah teknologi dalam acara perniagaan, persediaan untuk masa hadapan, pembidaan yang berkesan, usaha menarik penganjuran mesyuarat dan pemasaran ke Eropah, katanya. - BERNAMA