Empat Beranak Maut Motosikal Dinaiki Rempuh Lori Rosak

 

KENINGAU - Tindakan lima beranak menaiki sebuah motosikal membawa padah apabila empat daripada mereka termasuk kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas motosikal itu merempuh bahagian belakang sebuah lori rosak berhampiran Simpang Kampung Daar, Tambunan di sini malam tadi.

Mangsa lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penunggang motosikal tersebut bersama tiga anaknya berusia antara dua hingga enam tahun terkorban akibat cedera parah dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu.

Sementara itu, isteri mangsa, 29, pula dikejarkan ke Hospital Tambunan dekat sini kerana mengalami kecederaan teruk.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Ahmad Jawila berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki sekeluarga itu dalam perjalanan menuju ke pekan Tambunan dari arah Keningau.

Menurutnya, siasatan juga mendapati selain tidak memakai topi keledar mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan laju sehingga gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang rosak di tepi jalan.

"Akibat rempuhan yang kuat empat daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri mangsa cedera parah dan kini dirawat di hospital," katanya di sini hari ini.

Tambah Ahmad, kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang kerana gagal mengawal motosikalnya sehingga merempuh belakang lori rosak yang terletak di bahu jalan.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro