Empat Bot Nelayan Langgar Syarat Sah Lesen Ditahan


LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim (DM) 3 Lumut menahan empat bot nelayan tempatan kira-kira 9 batu nautika dari Barat Laut Pulau Talang, di sini, petang semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata Bot Maritim Kilat 11 yang diketuai Bintara Muda Maritim Mohd Ramzuzaman Abu Hasan itu turut menahan empat tekong dan empat awak-awak warga Myanmar yang berada di kesemua kapal tersebut, kira-kira 1 hingga 2 petang semalam.

Beliau berkata, kesemua bot nelayan berkenaan ditahan ketika anggotanya sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Malaysia.

"Setelah diperiksa didapati bot-bot tersebut menjalankan aktiviti menangkap ikan yang melanggar syarat-syarat yang dinyatakan dalam lesen iaitu menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kesemua kru warga Myanmar yang berumur antara 20 dan 45 tahun itu kemudiannya diiringi balik ke jeti Kampong Acheh, Sitiawan, malam tadi untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata pihaknya akan bertindak tegas terhadap bot nelayan tempatan yang didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan. - BERNAMA