Ezlynn, Suami Tidak Bertegur Sapa


KUALA LUMPUR - Penyanyi Ezlynn Ariffin, 35, yang dalam proses perceraian mengakui dia dan suaminya, Adam Fahmy sudah sekian lama tidak bertegur sapa meskipun masih duduk sebumbung.

Berbicara lanjut berkaitan rumah tangganya, Ezlynn juga mendedahkan bahawa hubungan mereka mula bermasalah sejak tiga tahun lalu, namun cuba dipertahankan selepas menghadiri kaunseling.

“Hubungan kami sekarang ini okay tetapi tidak bertegur sapa tetapi kami tidak bergaduh atau bermasam muka. Buat hal sendiri. Hanya perkara yang betul-betul penting sahaja baru ada komunikasi.

“Masing-masing dah berumur, jadi kami sangat rasional. Saya tak boleh komen lebih-lebih sebab kes ini dah dibawa ke mahkamah,” katanya.

Tambahnya, selama tempoh tersebut dia mengunci mulut berhubung perkahwinannya kerana menganggap isu berkenaan adalah hal peribadi antaranya dan suami.

Ezlynn memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal Januari lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga 21 November 2011 namun belum dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ezlynn bakal mengeluarkan single baharu hasil sentuhan Tam Spider dengan mengekalkan genre sama iaitu pop.

Dalam masa yang sama, kerjaya seni penyanyi lagu Hye Hye Bye Bye itu kini diuruskan oleh syarikat pengurusan Indigital Music selepas dia dan Adam yang juga pengurusnya tiada lagi persefahaman.

Sumber : Utusan Online