FAM Tangguh Pelaksanaan Penggunaan VAR Dalam Liga Malaysia


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018 kepada musim 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh berkata jawatankuasa itu berpendapat VAR masih lagi ‘projek separa matang’ dari sudut keberkesanannya dan tidak sesuai sama sekali menjadikan Liga M 2018 sebagai bahan kajian yang memungkinkan lebih banyak salah faham dalam pengurusan bola sepak negara.

Beliau berkata laporan terperinci yang disediakan anggota jawatankuasa berkenaan mendapati projek VAR memerlukan masa dan tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru dalam Liga M.

“VAR masih lagi dalam proses eksperimen sejak dari awal 2017 dan semua negara anggota yang terlibat masih lagi dalam proses penyesuaian, di mana semua laporan berkaitan pelaksanaannya diserahkan kepada IFAB (Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa) untuk diselaraskan penambahbaikannya pada masa hadapan.

“Untuk itu, Jawatankuasa Pengadil FAM pada mesyuarat kali pertama penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam, sebulat suara mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) supaya menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan VAR dalam saingan Liga-M musim 2018 berdasarkan kepada beberapa perkara utama yang belum meyakinkan jawatankuasa,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Subkhiddin berkata jawatankuasa itu telah melantik Pengurus Projek VAR/FAM Nasaruddin Ishak dan Ketua Unit Pengadil Kassim Kadir Bacha untuk meneruskan kajian keberkesanan VAR yang akan memberi tumpuan khusus kepada aspek pelaksanaannya pada Piala Dunia 2018 di Rusia.

Beliau berkata sebarang aspek latihan dan seminar untuk pengadil dan pegawai penilai juga akan diterapkan dengan topik berkaitan VAR, dengan tujuan setiap daripada mereka akan bersedia sekiranya VAR berjaya dimuktamadkan oleh IFAB/FIFA nanti.

“Jawatankuasa juga mengkaji beberapa siri kelemahan VAR yang berlaku sepanjang eksperimen ini dilakukan seperti di Hyundai A-League Australia dan yang terkini di Piala Dunia FIFA B20 Korea Selatan 2017 dari 20 Mei hingga 11 Jun lepas.

“Adalah lebih wajar untuk FAM menunggu sehingga VAR benar-benar menepati keperluan dan dinyatakan secara jelas dalam “Laws of The Game 2018-2019”,” katanya.

Cadangan penggunaan VAR disuarakan Tunku Ismail bertujuan memperbaiki integriti dan prestasi pengadil dalam Liga M.

Sasaran awal projek itu adalah untuk digunakan pada perlawanan separuh akhir dan final Piala Malaysia musim ini, sebelum secara rasmi dilaksanakan secara menyeluruh pada 2018. – BERNAMA