Fama Tawar Diskaun Jualan Pra-Syawal


KUALA LUMPUR - Orang ramai berpeluang membeli barangan keperluan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan potongan harga antara lima hingga 20 peratus menerusi Jualan Khas Pasar Tani Pra-Syawal di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, jualan khas anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) itu melibatkan 344 Pasar Tani terpilih dan akan beroperasi bermula hari ini sehingga 24 Jun.

"Jualan khas ini mampu menjadi ruang alternatif untuk pengguna memilih barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur yang segar serta berkualiti dan harga yang berpatutan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jualan khas berkenaan di Pasar Tani Bukit Angkasa, pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak dan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Tambah Ahmad Shabery, Fama turut memberi jaminan bekalan komoditi keperluan Hari Raya mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri kelak.

"Insya-Allah, bekalan makanan yang dikaitkan dengan musim perayaan ini mencukupi kerana ia antara perkara yang ditegaskan pihak FAMA," katanya.

Selain itu, beliau berkata setakat April tahun ini, sebanyak 678 Pasar Tani telah beroperasi melibatkan 29,152 peserta Pasar Tani di seluruh negara dengan nilai jualan RM285 juta. - Bernama