Format Baharu Peperiksaan CLP Resahkan Calon


PETALING JAYA - Pensyarah dan pelajar resah dengan perubahan saat akhir format peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), yang akan menentukan masa depan lebih 1,000 individu yang bercita-cita bergelar peguam.

Dengan tempoh kurang dari dua bulan sebelum peperiksaan pada bulan Ogos, notis perubahan format untuk kertas Tatacara Jenayah hanya disiarkan di portal Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang pada 25 Mei, walaupun lembaga telah memutuskan tentang perkara ini pada 7 Disember tahun lepas.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau kecewa dengan notis saat akhir itu dan akan mengambil tindakan.

Datuk Baljit Singh Sidhu, pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, berkata pelajar berasa hairan dengan kelewatan lembaga mengumumkan perubahan tersebut.

"Pemeriksaan CLP adalah salah satu peperiksaan yang paling sukar yang perlu diduduki lulusan undang-undang, tetapi mereka hanya mendapat tahu mengenai perubahan dua bulan sebelum peperiksaan," katanya kepada The Star.

Sebelum ini, calon boleh menjawab empat pilihan daripada tujuh soalan dalam kertas Prosedur Jenayah. Tahun ini, mereka mesti menjawab satu soalan wajib dan tiga yang lain dipilih oleh mereka sendiri.

Baljit, yang telah menulis beberapa buah buku mengenai prosedur jenayah berkata pelajar turut tidak dimaklumkan mengenai sifat soalan wajib.

"Kami telah meminta penjelasan daripada lembaga, tetapi tidak berjaya," katanya.

Pensyarah Kanan dan Pengarah Urusan Brickfields Asia College Raja Singham berkata apa yang dilakukan ini tidak adil kepada pelajar.

Beliau berkata lembaga itu sekurang-kurangnya perlu menyediakan sampel format baharu atau petunjuk tentang soalan yang bakal diberikan.

"Saya telah menerima banyak panggilan dan mesej daripada pelajar yang bimbang," katanya.

Kebanyakan pelajar yang ditemu bual di Lembah Klang, George Town dan Ipoh tidak gembira mengenai notis singkat ini kerana ia telah menjejaskan persediaan mereka.

Sebahagian daripada mereka juga merasakan bahawa dengan adanya garis panduan mengenai format baharu itu, ia akan membantu mereka bersedia dari segi mental.

Seorang calon CLP berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Christine, berkata beliau terkejut dengan perubahan itu.

"Lembaga tidak memaklumkan kepada kami dan membiarkan kami supaya terus memantau pengumuman di portalnya.

"Nasib baik rakan sekolej terbaca notis itu minggu lalu dan memberitahu saya," katanya sambil menambah berita tentang perubahan itu tersebar dengan cepat.

Christine, yang membuat percubaan kedua untuk peperiksaan CLP, berkata pelajar tidak tahu bagaimana untuk berdepan kertas peperiksaan itu kerana Prosedur Jenayah yang menjadi sebahagian daripada pengajian mereka itu mempunyai 30 bab.

Candice, seorang lagi calon, berkata beliau sangat gugup kerana ini percubaan kali ketiga untuk dirinya.

"Perubahan saat akhir bermakna lebih banyak tekanan, terutama kepada orang-orang seperti saya yang mengambil ujian semula," kata Candice, 25.

Beliau menambah kebanyakan rakan sekolejnya tidak tahu apa yang patut diharapkan sekarang.

Sit Jie Hao, 29, berkata, beliau dan rakan-rakannya tidak berpuas hati pada mulanya tetapi ketika ini, mereka sedar tidak ada apa yang mereka dapat lakukan kecuali meningkatkan pengetahuan dengan membaca berita-berita mahkamah.

Lim Wei Xeng, 24, berkata: "Saya tidak fikir mana-mana pelajar CLP yang berfikiran waras akan gembira. Walaupun perubahan format mungkin satu perkara yang baik, saya tidak gembira dengan notis singkat dan kekurangan maklumat."

Denise Anastasia, 24, berkata, beliau dan rakan-rakannya panik kerana mereka tidak pasti bagaimana bentuk soalan wajib itu dan perubahan format pada saat-saat terakhir sangat menimbulkan tekanan.

Graduan undang-undang di luar negara yang memegang ijazah undang-undang diiktiraf atau LLB dikehendaki mengambil peperiksaan CLP yang terdiri daripada Prosedur Awam, Pengajian Am, Prosedur Jenayah, Amalan Profesional dan Keterangan.

Calon-calon mesti lulus semua lima kertas pada satu masa tetapi diberi sehingga empat percubaan untuk mendapatkan CLP, bergantung kepada prestasi mereka.

Kadar kelulusan keseluruhan bagi peperiksaan CLP telah menjunam dari 94.79 peratus pada awal pengenalannya pada tahun 1984 kepada hanya 40 peratus pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu Parlimen bahawa kerajaan tidak menetapkan sebarang kuota kepada bilangan CLP yang akan dikeluarkan setiap tahun.

Sumber : Mstar Online