ALOR SETAR - Si cantik Nor Syamimi yang juga penuntut tahun ketiga, Jurusan Pendidikan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) tanpa rasa segan silu tidak kisah untuk membantu bapanya, Azhari Hashim , 50, menjual aiskrim di sekitar Pekan Kuah, Langkawi.
Sejak empat tahun yang lalu, Syamimi sanggup meredah panas dan hujan demi mencari sesuap nasi dan rezeki yang halal demi membantu keluarganya serta persediaan bagi kelengkapan Aidilfitri.
"Saya lebih suka berdikari mencari duit sendiri terutama bagi membeli kelengkapan untuk Aidilfitri ini.
"Biarpun menunggang motosikal menjual aiskrim dan kadang-kala terpaksa meredah hujan dan panas, saya tak kisah,” katanya.
Dia yang baru berusia 22 tahun itu akan membantu bapanya menjual ais krim apabila tiba musim cuti semester, dia tidak kisah jika dipandang rendah asalkan dapat menambah pendapatan dan duit poket.
"Saya sudah empat tahun membantu bapa menjual aiskrim yang saya lakukan ketika cuti semester.
"Pada awalnya, bapa ada bertanya kepada saya, tak malu ke nanti terutama dengan kawan-kawan. Saya kemudian beritahunya bahawa saya tidak peduli apa yang orang akan kata sebaliknya apa yang saya lakukan ini dapat membantu menambah pendapatan.
"Biasanya saya boleh dapat RM150 sehari dan dalam sebulan saya boleh dapat dalam lebih RM1,000. Apa yang penting kena rajin. Saya sukakan cabaran dan tahan lasak. Jadi, berniaga seumpama ini tidak menjadi masalah pada diri saya," katanya lagi.
Gadis cantik tersebut juga bijak untuk mencari peluang di bulan Ramadan apabila menjual ais krim di sekitar kawasan yang mengadakan majlis berbuka puasa.
"Kebiaasannya pada hari biasa, saya mula berniaga pada 11 pagi hingga 5 petang manakala pada Ramadan bermula 5 petang hingga 8.30 malam.
"Pada Ramadan ini saya juga fokus pada mereka yang mengadakan majlis berbuka puasa," ujarnya.
Selain itu, dia juga merancang untuk menjual ais krim bermula pada hari raya ketiga kerana memikirkan peluang pulangan pendapatan yang bakal diperolehi jika berniaga di sekitar majlis rumah terbuka nanti.
"Biarpun orang lain masih sibuk berhari raya namun saya merancang untuk berniaga selain memfokus kepada mereka yang mahu mengadakan majlis rumah terbuka nanti.
"Selain dapat membantu ibu bapa, saya harap dengan berniaga ini juga saya dapat meringankan beban mereka terutama untuk membiayai pengajian yang masih berbaki setahun lagi," katanya. - Kedahnews.com