Gadis Dari Sungai Petani Minta Bantuan Raya Di FB Teruk Dikecam



PETALING JAYA - Seorang gadis terkedu apabila satu posting merayu bantuan Aidilfitri untuk keluarganya telah dibalas dengan kecaman dan kata-kata kesat.

Normasmira Zulkifli, 17, telah meminta jasa baik orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan Hari Raya kepada keluarganya yang didakwa serba kekurangan, di Facebook (Kumpulan Penduduk Sungai Petani Kedah), kurang 10 hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, posting yang dimuat naik kira-kira pukul 3 petang Khamis itu menerima respons yang mengejutkan, menyebabkan dia terpaksa memadamnya pukul 5 pagi Jumaat.

"Ramai hentam saya. Saya rasa sedih sangat. Bantuan tak dapat, sebaliknya depa kata saya macam-macam...depa kata saya pemalas, depa mencarut kat saya.

"Saya rasa malu sangat, saya menangis baca komen-komen. Saya beritahu emak, emak kata 'biarlah apa depa nak kata, kami bukan mencuri...cuma minta tolong'," katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Normasmira, atau lebih senang dipanggil Ira berkata dia terpaksa menggunakan Facebook untuk mendapatkan bantuan kerana keluarganya belum membuat sebarang persiapan raya.

"Duit sekupang pun tak ada, macam mana nak raya," katanya yang tinggal bersama enam ahli keluarganya yang lain di sebuah rumah tumpang di Padang Temusu, Sungai Petani.

Di atas adalah paparan skrin penuh posting yang telah dimuat naik Ira.

Ira bagaimanapun tidak keseorangan dalam berdepan kecaman kerana ada juga netizen yang bersimpati dengannya dan memberi nasihat dan kata-kata semangat kepadanya.

Malah, dia juga mengakui menerima beberapa panggilan daripada orang tidak dikenali yang berjanji untuk menghulurkan bantuan walaupun posting itu yang mendapat hampir 2,000 komen telah dipadam.


Bercerita lanjut, Ira berkata dia sudah berhenti sekolah tahun lepas kerana kesempitan hidup.
Katanya, ibunya tidak bekerja selepas terbabit kemalangan pada 2008, tahun yang sama bapanya meninggal dunia akibat sakit jantung.

Dia menambah, tahun 2008 jugalah dia disahkan menghidap penyakit Talasemia.

"Sejak itu kakak saya yang sara keluarga, dia buat macam-macam kerja.

"Sekarang dia berniaga air di bazar Ramadan, dapatlah RM20 hingga RM30 sehari...duit itulah buat beli beras dan lauk kami," katanya.

Ira berkata ini adalah kali pertama dia meminta bantuan orang ramai di media sosial, tetapi mengakui pernah bertanya tentang kerja kosong di Facebook.

Ira berkata sebelum ini dia bekerja di sebuah kedai makan, tetapi kedai itu telah ditutup.

Menurut Ira, dia kini tinggal di sebuah rumah tumpang bersama ibu, abang, kakak, adik dan dua anak saudara.

"Sekarang hanya adik dan dua anak saudara saja yang bersekolah. Abang tak bekerja, dia buat hal sendiri," katanya.

Sumber : Mstar Online