Gaya Eksklusif Butang Baju Melayu Kayu Premium


KAJANG – Sudah banyak tempat pasangan ini pergi. Dari satu bangunan ke bangunan lain, bazar mahupun karnival Aidilfitri, semuanya sudah diredah Shahmin Razali, 29, dan isterinya, Sharifah Nursabrina Syed Hassan, 28.

Akan tetapi, mereka masih belum menemui ‘barang’ yang sangat diidamkan itu. Walhal, pencarian bukan sekadar di Ampang tetapi meliputi pelbagai kawasan sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan Bangi. Senang kata, asal dengar sahaja mana-mana kedai yang menjual aksesori baju Melayu pastinya pasangan ini akan singgah.

“Saya seorang yang sukakan kelainan di pagi raya. Jadi, saya ingin menggayakan baju Melayu cekak musang berbutangkan aksesori daripada kayu agar nampak berbeza dan lebih tradisi di pagi raya. Yang biasa seperti mutiara, perak dan suasa saya sudah ada.

“Bagaimanapun, kesemua kedai yang kami kunjungi langsung tidak menjual butang baju Melayu yang diperbuat daripada kayu. Malah, mereka berasa hairan apabila kami menanyakan butang baju berkenaan,” kata Shahmin kepada Bernama.

Itu kisah tiga tahun lepas. Siapa sangka, pencarian itu akhirnya menjadi titik mula kepada pasangan ini untuk mengasaskan jenama Kayan, iaitu penghasilan aksesori butang baju Melayu diperbuat daripada kayu premium, yakni yang pertama seumpamanya di negara ini.

SUKAKAN ‘KAYU’

Menemui pasangan ini di bengkel mereka di Jalan Reko, Kajang, Shahmin berkata keinginan yang terlalu tinggi untuk memiliki aksesori itu telah memberi ilham kepadanya untuk membuat sendiri butang baju Melayu berkenaan.

“Semuanya bermula untuk dipakai buat diri sendiri pada hari raya Aidilfitri tahun 2015. Bagaimanapun, sama sekali tidak menyangka ada rakan lain turut meminati butang baju itu selepas melihat saya menggayakannya.

“Mereka kata cantik, unik dan menyuruh saya untuk menjenamakan ia kerana buat masa ini belum ada lagi butang baju Melayu yang diperbuat daripada kayu di pasaran,” katanya yang begitu meminati barangan berasaskan kayu.

Kecintaan Shahmin pada ‘kayu’ amat jelas ketara. Malah, ketika mendemonstrasikan pemotongan blok kayu sepanjang 1,524 milimeter (mm) kepada saiz lebih kecil, jam tangan yang dipakainya pada hari itu turut menarik perhatian penulis.

Diperbuat khas daripada kayu, bapa kepada seorang anak perempuan ini beranggapan setiap barangan yang diperbuat daripada bahan itu mempunyai unsur klasik, elegan dan ia juga boleh terserlah melalui penghasilan butang baju Melayu.

Keunikan itulah yang mendorong Shahmin dan isterinya komited menjadi usahawan kraf pertama mencipta butang baju Melayu berasaskan kayu kerana yakin ia mempunyai nilai pasaran tinggi untuk mereka yang meminati elemen kekampungan dan moden pada pagi raya.

BELAJAR YOUTUBE

Menceritakan pembabitan awal mereka, Shahmin berkata ruang meja makan rumah emaknya di Kajang terpaksa diubahsuai menjadi bengkel sementara disebabkan kekangan kewangan untuk memiliki bengkel sendiri.

“Selama dua tahun kami beroperasi di ruang meja makan rumah emak saya. Tetapi, kalau ada apa-apa majlis atau menjelang hari raya, segala perkakasan pertukangan itu akan kami simpan.

“Syukur selepas tiga tahun mengendalikan perniagaan kraf ini, barulah kami mempunyai tiga buah bengkel kecil termasuk mampu memiliki mesin gergaji khas, mesin pelicinan kayu dan mesin laser untuk memudahkan proses membuat butang baju Melayu kayu premium ini,” katanya.

Melihat lagak Shahmin mengendalikan perkakasan pertukangan, pastinya ramai menyangkakan lelaki ini sudah lama mempelajari seni kemahiran itu ataupun mewarisinya daripada keluarga.

Walhal, beliau bersama isteri sebenarnya langsung tidak mempunyai asas pertukangan kayu dan pengalaman membuat aksesori kraf. Malah, apa yang menariknya adalah pasangan muda ini adalah lulusan universiti luar negara dalam bidang profesional yang langsung tidak berkait dengan dunia kraf.

Shahmin sendiri pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti New South Wales (UNSW) , Australia manakala isterinya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan daripada universiti sama.

“Kami memang tidak ada guru atau mentor yang mengajar membuat aksesori ini. Kebanyakannya, kami mempelajarinya sendiri daripada video pertukangan kayu dalam laman Youtube ataupun mencari pelbagai maklumat mengenainya di Internet.

“Google banyak membantu selain kawan-kawan yang berlatarbelakangkan dalam bidang rekaan industri turut berkongsi pengetahuan mereka dengan kami. Selama enam bulan kami bereksperimen bagi mendapatkan produk akhir yang benar-benar berkualiti dan tahan lasak,” kata Shahmin.

BUKAN MUDAH

Akan tetapi, proses pembuatannya bukanlah mudah dan sangat memerlukan kesabaran serta ketelitian tinggi walaupun ia hanyalah barangan kraf yang sangat kecil saiznya.

Semakin kecil sesuatu produk, semakin sukar membuatnya, kata Sharifah Nursabrina.

Bermula daripada pemilihan kayu yang sesuai, teknik pemotongan kayu, pencarian gam kuat lekatannya dan tahan lama, proses pengeringan serta pelicinan kayu, semua itu diambil kira bagi memastikan hanya yang berkualiti sahaja daripada Kayan.

“Bukan semua kayu sesuai untuk dijadikan butang baju Melayu. Ada sesetengah kayu, apabila kita potong kecil ia jadi serpih dan tidak sesuai digunakan. Misalnya, kayu kemuning mempunyai rona warna yang cantik, jingga kekuningan, tetapi teksturnya lembut dan mudah serpih apabila dipotong kecil.

“Disebabkan itu, suami terpaksa keluar KL sampai ke Kedah dan Terengganu untuk mencari kayu yang sesuai. Antara kayu yang menjadi pilihan kami adalah mapel, walnut, rosewood, oak, jati, semangkuk dan nyireh batu.

“Kami juga berhadapan cabaran mencari gam yang sesuai. Kebanyakan butang baju Melayu menggunakan kaedah pateri untuk proses lekatan kerana bahan kesemuanya besi. Tetapi, produk kami kayu yang perlu dilekatkan dengan besi. Jadi kaedah pateri tidak sesuai pada kayu.

“Disebabkan itu, kami kena mencari gam yang betul-betul kuat, tahan lama dan sesuai untuk kayu dan besi,” katanya.

Tambah Sharifah Nursabrina, proses pelicinan juga perlu dibuat dengan berhati-hati mengikut pengiraan ditetapkan bagi memastikan setiap produk Kayan dihasilkan mengikut saiz standard dan tidak ada terlebih mahupun terkurang.

SAMBUTAN HANGAT

​​​​​​​Atas ketelitian itu, tidak menghairankanlah apabila butang baju Melayu kayu premium ini mendapat sambutan hangat sejak tahun pertama ia mula menembusi pasaran.

Bermula dengan hanya empat koleksi butang baju Melayu, mereka kini sudah mempunyai 21 rekaan eksklusif.

Kayan yang turut berdaftar dengan Kraftangan Malaysia bagi memajukan lagi perniagaan mereka juga melebarkan sayap mengeluarkan produk kerongsang dan ‘cuffling’.

“Selain Instagram dan laman sesawang Kayan, produk kami juga dijual di Zalora, FashionVallet, Mood Republic dan sambutannya sangat mengalakkan. Malah, permintaannya juga menembusi pasaran luar seperti Brunei dan Singapura.

“Disebabkan permintaannya sangat menggalakkan, kami ambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian pada pembangunan produk Kayan.

“Sebelum ini, kerja pertukangan kraf hanya dilakukan pada waktu malam dan hujung minggu sahaja,” kata Sharifah Nursabrina yang sebelum ini pernah bekerja dalam sektor bank manakala suaminya bidang logistik .

Untuk Hari Raya Aidilfitri kali ini, Kayan membawa empat rekaan butang baju Melayu eksklusif iaitu Legend, Ombre, Duo dan Maple yang dijual pada harga bermula RM79 hingga RM149. – BERNAMA