Geng Samun Pusat Hiburan, Kedai Serbaneka Ditahan

  Kes Jenayah

BUTTERWORTH - Tiga anggota geng samun termasuk seorang wanita yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan merompak pusat hiburan dan kedai serbaneka 24 jam berjaya ditahan polis dalam serbuan di Butterworth, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asiten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, tiga individu termasuk pasangan kekasih berusia 23 hingga 44 tahun itu ditahan pukul 10.30 malam dan polis turut merampas wang tunai dipercayai hasil samun.

"Berdasarkan siasatan, geng itu terlibat banyak kes samun di SPT sejak awal tahun ini dan terbaharu mereka menyamun sebuah pusat hiburan dan kedai serbaneka di Bagan Ajam Khamis lepas.

"Susulan kejadian itu, polis berjaya mengesan mereka dan merampas enam buah telefon bimbit serta wang tunai sebanyak RM3,428 dipercayai hasil samun geng berkenaan," katanya di sini semalam.

Katanya geng itu dipercayai hidup mewah dan berpindah randah di beberapa negeri dengan menjalankan kegiatan samun menggunakan parang serta pisau untuk menakutkan mangsa.

Nik Ros Azhan berkata, dua lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta mereka bertiga turut positif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis sedang mengesan lima lelaki berusia 18 hingga 25 tahun dipercayai terlibat dalam kes dua remaja cedera parah dipukul kumpulan berkenaan dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit di sini, awal pagi kelmarin.

"Dalam kejadian pukul 2.10 pagi itu, dua mangsa berusia 18 dan 19 tahun sedang membeli burger sebelum terserempak dua lelaki dikenali mereka dan berlaku ejek mengejek berlarutan sehingga suspek menelefon enam lagi rakan," katanya.

Beliau berkata dua mangsa itu dipukul menggunakan helmet serta ditumbuk dan ditendang oleh kumpulan itu sebelum remaja berusia 19 tahun berjaya menyelamatkan diri dan memaklumkan kejadian tersebut kepada bapa saudaranya.

"Seorang lagi mangsa telah dibawa menaiki motosikal suspek ke kawasan padang berdekatan dan dipukul kumpulan itu hingga mengalami kecederaan parah. Dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh orang awam dan dilaporkan dalam keadaan kritikal," katanya.

Katanya ekoran kejadian itu, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan seorang daripada mereka berusia 18 tahun di Jelutong dan memburu lima lagi suspek yang telah dikenal pasti untuk siasatan lanjut. - Bernama