KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) telah menghantar senarai nama calon yang berpotensi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dimuktamadkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kesemua 45 nama calon yang merupakan gabungan muka baharu dan diberikan kepada SPRM untuk disemak bagi memastikan mereka tiada rekod buruk dan bebas rasuah.
"Semasa 2013 kita telah bertanding di 45 kerusi dan disebabkan itu kami telah menghantar senarai nama calon ini kepada SPRM sejak sebulan yang lepas bagi memastikan calon kita mempunyai rekod bersih dan semua calon sedar bahawa sesiapa yang mempunyai rekod buruk tidak berpeluang bertanding pada PRU akan datang.
"Bagaimanapun sehingga kini kami masih menunggu keputusan daripada SPRM sebelum senarai penuh dihantar kepada Dewan Tertinggi BN untuk dimuktamadkan," katanya selepas menghadiri Bengkel Media Sosial untuk penyediaan PRU14 di Menara PGRM semalam.
Bagi persiapan PRU14, Mah berkata parti itu berharap dapat memainkan peranan lebih besar dalam menguatkan jenteranya untuk melawan penyebaran berita palsu yang mungkin disebarkan melalui media digital.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, lebih 80 peserta yang terdiri daripada penyelaras, calon berpotensi dan pemimpin parti telah mengikuti beberapa sesi latihan media sosial bagi mengkukuhkan lagi jaringan dengan pengundi melalui platform media baharu itu.
"Kita mengakui pada PRU terdahulu semua calon kita telah bekerja keras namun disebabkan kekurangan publisiti dan interaksi melalui media sosial, menyebabkan kita kurang perform." kata Mah lagi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) baharu berkuat kuasa serta-merta menggantikan Tan Sri Isa Samad.
Beliau berkata pelantikan itu akan memberi peluang FGV untuk kembali fokus dalam mengukuhkan eksport kelapa sawit negara ke seluruh dunia.
"Kita lega isu dalaman FGV telah berakhir kerana sebagai syarikat perladangan terbesar negara, kita mahu FGV membantu meningkatkan produktiviti minyak kelapa sawit dan memastikan ia dapat dieksport dan diterima oleh semua negara.
"Ketika ini pasaran terbesar kita adalah di Eropah di mana tahun lepas sahaja kita mengeksport RM100 bilion minyak kelapa sawit dan produk kelapa sawit. Sebagai trend setter kita berharap eksport di Eropah ini akan berkembang ke negara lain pula," katanya.
-Bernama