Ghairah Berbelanja Walau Saat Akhir, Bukti Rakyat Malaysia Belum Terdesak


JALAN Stadium dan Lebuh Raya Darulaman di Alor Setar, Kedah tengah malam tadi sesak teruk. Ribuan umat Islam turun ke bandar untuk berbelanja bagi membuat persiapan terakhir untuk menyambut Aidilfitri.

Gambaran itu  bukan satu 'cerita dogeng' seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang sejak dua tahun yang meramalkan bahawa Malaysia akan muncul sebuah negara yang muflis seperti Greece. 

Walaupun dimomokkan dengan kejatuhan ringgit dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) selain  dakwaan 'salah guna' wang 1MBD,  rakyat terus  berbelanja hingga kepada perkara yang tidak menjadi keutamaan. 

Contohnya, kemewahan juadah berbuka sepanjang Ramadan terbuang dan membazir sedangkan ia boleh dinikamati oleh jutaan mereka yang kelaparan.

Jika negara ini menuju ke arah kebangkrapan, tidak mungkin berlaku fenomena kebajiran orang ramai berebut membuat pembelian di bazar-bazar  yang melanjutkan perniagaan hingga awal pagi.

Hakikatnya, majoriti  rakyat negara ini masih boleh bergembira  menyambut Aidilfitri di ketika negara lain dikejutkan dengan ledakan bom,  pertumpahan darah selain bergelut dengan bencana alam dan krisis makanan di negara ketiga.

Walaupun rakyat Malaysia cuba ditakutkan dengan pelbagai ramalan buruk tentang masa depan negara seperti akan berlaku darurat dan negara gagal, penduduk pelbagai kaumdan peringkat masih tetap menikmati kehidupan harian yang lebih baik daripada rakyat di sesetengah negara luar. 

Dalam perutusan Aidilfitri bertemakan 'Lembayung Silaturahim 1Malaysia Asas Kejayaan Rakyat dan Negara' yang disiarkan di televisyen malam tadi, Perdana Menteri mengakui Malaysia sedang berdepan dengan cabaran risiko geopolitik baharu dunia yang serius.

Antaranya membabitkan krisis di antara negara-negara Islam di Teluk, program nuklear Korea Utara dan implikasi Brexit, katanya.

"Sudah tentu, kesemua perkembangan ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya, kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera dan ia boleh menjejaskan kemakmuran negara serantau dan antrabangsa," katanya.

Dalam hali ini Perdana Menteri menyeru semua rakyat di negara ini agar mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan fahaman atau ideologi ekstremisme dan terorisme seperti IS serta militan Daesh, yang telah menyalahtafsirkan konsep jihad dalam Islam.

Selain itu, dalam era siber dan media sosial hari ini, Najib turut mengingatkan umat Islam untuk bijak menyaring maklumat dan ancaman fitnah serta tohmahan palsu yang disebarkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

"Namun begitu, saya berasa bersyukur kerana Malaysia masih terus mengecapi nikmat keamanan. Malah, beradasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 negara paling aman di dunia," katanya.

Dalam bidang ekonomi pula, Perdana Menteri berkata, meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, ekonomi negara telah berkembang pada kadar di luar jangka iaitu 5.6 peratus untuk suku pertama tahun ini, berbanding 4.5 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Malah katanya, pada Mac lalu, buat pertama kali dalam sejarah nilai eksport telah mencecah RM80 bilion iaitu pencapaian tertinggi eksport secara bulanan.

Mengakhiri perutusannya, Najib turut menyeru umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia untuk mengeratkan perpaduan dan perkukuhkan ukhuwah serta persaudaraan dan mengetepikan segala perbezaan, selain menikmati keharmonian sedia ada di bawah lembayung silaturahim 1Malaysia.
- Kedahnews.com