Guan Eng Pegang 14 Jawatan Utama, Pengerusi 12 Organisasi Di P. Pinang


PULAU PINANG  – Parti Gerakan Pulau Pinang mempersoalkan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang didakwa menyandang sehingga 14 jawatan utama di negeri ini.

Ketua Biro Publisitinya, Ooi Zhi Yi berkata, selain bergelar Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) dan ahli Parlimen, Guan Eng juga menjadi pengerusi da­lam sekurang-kurangnya 12 orga­nisasi lain.

Beliau mempersoalkan bagai­mana Ketua Menteri berkenaan mahu menguruskan bebanan dan tanggungjawab setiap jawatan tersebut dan dalam masa sama memastikan kebajikan rakyat tidak terabai.

Terbaharu katanya, Guan Eng juga menjadi Pengerusi Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang selepas rang undang-undang itu diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu.

“Mengapa jawatan pengerusi perbadanan itu tidak disandang Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Chong Eng?

“Mungkin ini kerana Perbadanan Stadium Malaysia yang diluluskan pada 2010 melantik Menteri Belia dan Sukan pada waktu itu, Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai pengerusi,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini .

Menurut Zhi Yi, kepemimpinan Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah tidak mampu me­ngenal pasti kebolehan barisan pemimpin mereka dalam me­nguruskan pentadbiran negeri dan hanya memberikan jawatan penting kepada individu ter­tentu.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada barisan wakil rakyat kerajaan negeri ketika ini adalah mereka yang tidak berkaliber sehingga tidak mampu diberikan sebarang tanggungjawab.

Sumber: Utusan