Guru Serang Guru Besar


SIBU - Seorang guru sekolah rendah di Lebaran dekat sini ditahan kerana menyerang guru besar sekolahnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 10 pagi Jumaat.

"Guru besar itu meninjau sekitar sekolah itu dan ketika masuk ke kelas yang sedang dikendalikan guru berkenaan, suspek memberitahu guru besar itu tindakannya menunjukkan seolah-olah dia tidak mempercayai suspek," katanya.

Susulan itu berlaku pertengkaran di antara mereka yang berakhir dengan guru berumur 49 tahun itu menghalau guru besar berumur 40 tahun dari kelas yang penuh dengan murid itu.

Ketika pergaduhan itu berlaku, suspek sedang memegang segelas air panas dan ia kemudiannya disiram ke muka guru besarnya.

Tidak berpuas hati dengan tindakannya, guru wanita itu juga menendang guru besar lelaki itu tetapi dapat dielak.

"Lengan dan belakang guru besar itu melecur akibat terkena air panas," katanya.

Susulan laporan yang dibuat mangsa, polis menahan guru wanita terlibat ketika tampil ke balai polis.

Sebelum itu, suspek didakwa menyerang bekas guru besar sekolah berkenaan dan laporan mengenainya juga telah dibuat.

Saiful berkata, guru wanita itu telah ditahan reman tiga hari sehingga 19 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Sumber : Mstar Online