ALOR SETAR - Gambar seorang warga emas yang menjadi tular di laman sosial kononnya hidup sebatang kara dan hanya tinggal di sebuah dangau atau pondok di Kampung Belantik Mukim Sok di Sik, adalah tidak benar.
Menurut warga emas berkenaan, Mat Ladin Ahmad,78 atau dikenali sebagai Pak Su Eil, 'tempat tinggal usang' seperti yang didakwa netizen sebelum ini hanyalah dangau yang dijadikan sebagai tempat dia berehat sementara menunggu lembu peliharaannya.
Malah, Pak Su Eil bukanlah tinggal sebatang kara sebaliknya dia mempunyai anak dan isteri.
"Hasil kunjungan kakitangan LZNK Cawangan Sik mendapati dangau itu hanya tempat untuk menunggu lembu yang dipeliharanya secara pawah.
"Siasatan yang dilakukan mendapati beliau adalah penerima bantuan dari LZNK Cawangan Sik sejak 2009," kata Pengurus Lembaga Zakat Negeri Kedah ( LZNK) Cawangan Sik, Mohd Khairul Nizam Abd Aziz.
Meski pun begitu, warga emas berkenaan menjelaskan bahawa dia selesa untuk menghabiskan masa dan berehat di dangau itu berseorangan biarpun mempunyai rumah dan sudah berkahwin.
"Paksu Eil mengakui kerap berada di dangau kerana selesa. Dalam masa sama dia mahu menjaga lembu-lembu itu kerana khuatir dicuri.
"Dia mempunyai rumah lain di kampung itu yang didiami anak-anak dan isteri. Kadang-kadang dia akan pulang," katanya.
Selain itu, Mohd Khairul mendedahkan bahawa warga emas itu memiliki hampir satu hektar tanah yang didirikan dangau dan dua buah rumah untuk anaknya.
"Dua daripada lima orang anaknya sudah berkahwin," katanya. - Kedahnews.com