ALOR SETAR - Penjualan buah Harumanis yang pernah menjadi satu fenomena di negara ini kali ini mengalami zaman kejatuhan apabila para petani mengalami kerugian yang agak besar ekoran lambakan hasil.
Lambakan buah Harumanis turut mengakibatkan para petani di Perlis mengalami kerugian berjuta-juta ringgit ekoran penurunan mendadak harga buah yang dahulunya mendapat permintaan ramai itu.
Malah, ada diantara petani yang terpaksa membakar hasil ladang masing-masing bagi mengelakkan daripada ancaman penyakit.
Tidak cukup dengan itu, buah Harumanis yang dihasilkan juga terpaksa dijual pada kadar harga RM10 sekilogram kepada peraih dan RM15 kepada pembeli akibat lambakan di pasaran pada bulan puasa selain faktor kelemahan pemasaran.
Perkara tersebut memberi tamparan hebat kepada pengusaha tanaman terbabit dan pastinya ia amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan harga pasaran pada tahun 2015 dimana seorang petani mampu mengaut untung dengan menjual harumanis pada harga RM50 sekilogram.
Seorang pekebun, Musa Darus, 75, tidak menyangka akan mengalami kerugian yang sangat besar dalam sejarah hidupnya dan turut mendedahkan pemintaan terhadap Harumanis turut merosot teruk lebih 70 peratus sehingga menyebabkan banyak buah terbiar busuk di pokok.
Menurutnya, 133 pokok mempelam harumanisnya mengeluarkan hasil kira-kira lima tan (5,000 kilogram) tahun ini, namun malangnya 2.5 tan terpaksa dibiarkan busuk di pokok dan terpaksa dibakar bagi mengelakkan penyakit yang mengancam pokok lain. - Kedahnews.com