PUTRAJAYA – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac lalu, dan bagi tempoh minggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak turun lagi untuk minggu ketiga.
Ia sudah dijangka pelbagai pihak ekoran ketidakstabilan situasi geopolitik akibat krisis diplomatik antara Arab Saudi dengan jirannya, Qatar sehingga mempengaruhi suasana penawaran bekalan minyak mentah di pasaran dunia.
Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu produk RON 95 kini menjadi sebanyak RM1.98 seliter, turun tujuh sen berbanding sebelumnya iaitu RM2.05 seliter.
Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula telah ditetapkan kepada RM2.24 seliter, juga turun sebanyak tujuh sen dibandingkan sebelumnya iaitu RM2.31 seliter.
Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama diumumkan menjadi hanya RM1.88 seliter iaitu merosot enam sen sahaja berbanding RM1.94 seliter ketika tempoh minggu sebelumnya.
Stesen penyiaran awam kebangsaan berkenaan melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum tersebut bermula dari pukul 12.01 tengah malam 15 Jun sehingga 11.59 malam 21 Jun depan.
Mulai 29 Mac lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna dapat menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.
Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai sistem kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983 lagi.
Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah bermula pada awal Disember 2014 lalu.
Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana corak perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan yang pendek. –Kedahnews.com