KUALA TERENGGANU - “Saya teruja merasai suasana berhari raya bersama isteri dan paling penting kami dapat bagi duit raya kepada kanak-kanak,” kata Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan, 28.
Dia yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit, di sini, berkata, dia dan isteri, Nadifa Adnan, 28, sepanjang Ramadan lalu menambah pendapatan melalui pelbagai cara termasuk berniaga di Car Food Sahur (CFS) di Batu Buruk selain melancarkan Pomade keluarannya sendiri iaitu JTac by Mat Dan bagi memastikan hasratnya untuk memberi duit raya kepada kanak-kanak tertunai.
“Apabila sudah beristeri, secara tidak langsung jumlah ahli keluarga juga bertambah, anak-anak saudara juga ramai jadi mereka semua perlu diberikan duit raya bagi menghargai mereka selepas berpuasa selama sebulan.
“Memang tradisi masyarakat Melayu dengan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan sebagai ahli baru dalam keluarga mentua, saya ingin pastikan semua anak saudara mendapat duit raya,” katanya.
Menurutnya, dia dan isteri menempah baju sebanyak empat pasang seorang untuk beraya selama seminggu bersama keluarga isterinya di Terengganu.
“Hari raya pertama kami bertandang ke rumah sanak-saudara dan kawan rapat manakala raya kedua kami membuat rumah terbuka bagi meraikan rakan dan peminat.
“Seronok buat persiapan raya tahun ini sebab sebelum berkahwin dan ketika tinggal di Pulau Kapas, persiapan raya saya hanya ala kadar, tetapi persiapan sekarang perlu dibuat dengan rapi kerana sudah bergelar suami.
“Saya menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Al Muktafi Billah Shah sebelum ke rumah saudara isteri di sekitar Kuala Terengganu dan Marang,” katanya.
Nadifa pula berkata, sebagai isteri dia akan sentiasa berada di sisi suaminya di samping menjalankan tanggungjawab sebagai pembantu peribadi suaminya serta memastikan setiap aktiviti seni dan perniagaan Mat Dan berjalan lancar.
“Memang bertuah sangat sebab dapat beraya bersama suami pada tahun ini.
“Saya juga sangat teruja kerana dapat meraikan hari istimewa ini bersamanya dan pada masa sama, dapat memperkenalkan budaya sambutan Aidilfitri masyarakat di negeri ini,” katanya.
“Juadah pagi raya seperti lemang dan rendang antara yang paling disukai Mat Dan, justeru saya pastikan menu itu tersedia di atas meja sebelum suami ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri,” katanya.
Sumber : MyMetro