Hobi "Bela" Semut Jadi Makin Popular Di Singapura


SINGAPURA – Hobi menyimpan semut kini menjadi semakin popular di Singapura, lapor stesen penyiaran tempatan milik pemerintah Channel NewsAsia baru-baru ini.

Malahan sebuah kumpulan Facebook tempatan dikenali sebagai “Ants Singapore”, yang mula dibentuk Disember tahun lalu, kini mempunyai lebih 300 anggota aktif dari seluruh republik tersebut.

Antara lain, kumpulan ini menganjurkan lawatan pemburuan semut selain mengajar orang ramai cara mencari, menangkap dan menjaga serangga peliharaan mereka dengan lebih sempurna.

Meskipun sering dianggap sebagai serangga bermasalah oleh kebanyakan orang, kumpulan tersebut yang diketuai oleh Chris Chan ini menganggap bahawa semut sebagai serangga peliharaan baik.


Beliau bahkan kini mempunyai sehingga 30 koloni serangga berkaki enam tersebut yang terdiri daripada ratusan semut dalam kalangan lapan jenis spesies tempatan.

Chan juga mula menjual kit-kit pembiakan semut dan berharap Singapura akan menjadi sebuah pusat pembiakan semut peliharaan. – Agensi