Insiden Pesawat Hawk 108 Terhempas: Dua Juruterbang Maut


DUA juruterbang Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang menerbangkan pesawat pejuang jenis Hawk 108 yang dilaporkan hilang di sempadan Pahang-Terengganu ditemui maut petang Khamis.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, dan Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemui ditemukan di kawasan berpaya di Chukai, Terengganu, kira-kira 31 batu nautika dari Lapangan Terbang Kuantan bersama dengan payung terjun kira-kira pukul 2.30 petang.

“Kedua-dua juruterbang ini adalah yang berpengalaman dan salah seorang daripada mereka merupakan jurulatih pesawat pejuang tersebut.

“Mayat mangsa kini dihantar Ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk bedah siasat,” katanya.

Affendi berkata, pesawat tersebut sedang menjalani latihan namun pihaknya sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat insiden tersebut.

Beliau berkata, kerangka pesawat berkenaan bagaimanapun belum ditemukan.

Menurutnya, keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan pihaknya akan mengambil perhatian kepada kebajikan kepada keluarga mangsa.

Pesawat Hawk 108 milik TUDM yang dikendalikan mereka sebelum ini dilaporkan hilang di utara Kuantan iaitu di sempadan antara Terengganu dan Pahang, 11.30 pagi tadi.

Pesawat yang terlibat dalam operasi SAR itu adalah Hercules C130 dan Eurocopter EC725 yang memulakan pencarian pada 11.49 pagi.

TUDM dalam kenyataan, hari ini melaporkan kehilangan pesawat itu selepas berlepas dari Pengkalan Udara Kuantan pada 11 pagi sebelum terputus hubungan. – Kedahnews.com