Insiden Tebusan: Tiada Rakyat Malaysia Terlibat


KUALA LUMPUR - Wisma Putra pada Selasa mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan dan tebusan di Melbourne, Australia pada Isnin.

Dalam satu kenyataan di sini, Wisma Putra turut mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu yang dilakukan oleh Yacqub Khayre, 29, dari Roxburgh Park.

Sebelum ini dilaporkan suspek mempunyai sejarah keganasan dan dibebaskan daripada pembabitan dalam plot keganasan Holsworthy pada 2009.

Lelaki itu terbunuh dalam kejadian pada Isnin yang menyaksikannya menjadikan seorang wanita sebagai tebusan selain membunuh seorang lelaki yang dipercayai warga Australia berketurunan Cina yang juga pekerja di Buckingham Serviced Apartments di Brighton.

Suspek dipercayai menjadikan wanita itu sebagai tebusan selepas mengatur pertemuan menerusi perkhidmatan pengiring di pangsapuri terbabit. - BERNAMA