Isa Akur Letak Jawatan Di FGV, Beralih Ke SPAD


KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) mengumumkan peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Isa Abdul Samad berkuatkuasa hari ini.

Selain jawatan itu, Isa turut meletakkan jawatan dalam syarikat-syarikat sekutu dan syarikat usahasama syarikat peladangan kelapa sawit terbesar Malaysia itu.

“FGV mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Isa Samad daripada mempengerusikan FGV serta anak-anak syarikat, syarikat-syarikat sekutu dan syarikat usahasama bagi memberi fokus kepada urusan peribadinya,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Serentak itu, ahli lembaga pengarahnya, Tan Sri Sulaiman Mahbob dilantik sebagai Pemangku Pengerusi FGV.

Sementara itu, Isa turut dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkuatkuasa serta merta. –Kedahnews.com