SARAJEVO - Ismail Zulfic, 6, merupakan kanak-kanak Bosnia yang dilahirkan tanpa lengan dan kecacatan pada kaki yang melakar kejayaan tanpa laluan mudah.
Di Bosnia, mereka yang kurang bernasib baik sering menghadapi diskriminasi dan diperkecilkan.
Namun sebuah kelas renang khas dibuka untuk kanak-kanak istimewa membuatkan Ismail berasa seronok kerana menemui sesuatu yang disukainya.
Pada mulanya, Ismail takut dengan air.
Ibu bapanya membawanya ke kelas renang percuma dipanggil Spid, yang dianjurkan oleh Amel Kapo, seorang graduan sukan yang menjalankan sesi renang untuk memberi peluang kepada kanak-kanak kurang upaya mengasah bakat mereka.
“Ya, fizikal mereka mungkin berlainan.
“Tetapi jika mereka diberi peluang untuk membuktikan diri, mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
“Matlamat saya adalah untuk menunjukkan kebolehan kanak-kanak istimewa," kata Amel menurut laporan Metro.uk.
Amel menolong Ismail untuk menangani ketakutannya serta mengatasi had-had fizikal dengan mengajarnya berenang.
Disebabkan ibu bapanya tidak mampu untuk membawa Ismail ke kelas renang dua kali seminggu, Spid membiayai kos minyak dan peralatan berenang untuk menyokong Ismail supaya terus belajar.
Hasilnya, Ismail memenangi pingat emas dalam pertandingan renang bagi kanak-kanak istimewa, dan berharap untuk berentap di peringkat dunia yang bakal diadakan di Jerman pada tahun ini.
Pencapaiannya telah menarik perhatian Swim Strong Foundation, sebuah organisasi di New York.
Pengasasnya, Shawn Slevin telah merantau ke Sarajevo untuk memberi latihan yang lebih baik kepada Ismail dan kanak-kanak yang lain.
“Apabila mereka dapat melihat keupayaan mereka, tahap keyakinan mereka meningkat.
“Tiada yang mustahil bagi mereka," Shawn.
Dia telah membesar menjadi seorang yang berkeyakinan, dan bersedia untuk menghadapi segala cabaran apabila masuk ke sekolah pada tahun ini.
“Kita boleh mengambil banyak pengajaran darinya.
“Kita boleh pelajari untuk menghargai kehidupan kita dan juga orang lain.
“Dia adalah pejuang yang sebenar," kata ayah Ismail, Ismet.
Sumber: mStar