ALOR SETAR - Seorang isteri memohon bantuan orang ramai bagi membantunya memenuhi keperluan suaminya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat.
Siti Kartini Abdullah, 38, dari Jalan Teluk Wanjah di sini berkata suaminya, Iskandar Abdullah, 47, disahkan menghidap penyakit itu pada Ogos tahun lalu selepas membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.
"Pada awalnya, doktor suspek suami menghidap penyakit Tibi (Tuberkulosis) pada Jun dan apabila menjalankan pemeriksaan pada Ogos, doktor maklumkan paru-parunya dimasuki air dan pemeriksaan lanjut menjumpai ketulan kanser dalam paru-parunya.
"Sebelum ini suami ulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah tetapi kelmarin saya bawa suami ke hospital selepas dia tidak sedarkan diri dan ia berkemungkinan berpunca akibat kanser itu mula merebak ke kawasan lain,\" katanya kepada Bernama semalam.
Biarpun tidak perlu membayar kos rawatan di hospital kerajaan setakat ini, dia berkata, setiap bulan keluarganya memerlukan hampir RM2,000 untuk membeli susu dan lampin pakai buang suaminya termasuk sewa rumah, bil api dan air serta perbelanjaan sekolah dua anaknya berumur 14 dan 17 tahun.
Siti Kartini berkata pendapatannya tidak menentu dengan hanya menjual kuih-muih, memperolehi sekitar RM600 hingga RM700 sebulan berbanding jumlah perbelanjaan yang diperlukan.
"Sekarang saya seorang sahaja yang bekerja jadi banyak benda yang perlu dibayar...macam dulu suami saya kerja bawa lori, sekarang dia dah tidak boleh bekerja. Memang kami dapat bantuan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia masih belum cukup," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Kartini di talian 011-31319110 atau menyalurkan derma melalui akaun Bank Islam atas namanya bernombor 02011021044563. - BERNAMA