FENOMENA seorang Fattah Amin nampaknya belum ada tanda-tanda ia akan surut dalam masa terdekat dan kerana itu juga dia jarang boleh menghabiskan masa bersama keluarga.
Mana tidaknya, jadual dia padat dengan pelbagai aktiviti bertemu peminat, menghadiri acara-acara hiburan termasuk berada di set penggambaran.
Namun kata Fattah bagi menggantikan masa bersama keluarga yang telah terbuang, dia akan membayar segala kesibuakannya itu dengan membawa mereka bercuti pada Aidilfitri nanti.
Hai, untunglah semua ahli keluarga Fattah dapat pergi bercuti!
Kata pelakon berusia 27 tahun ini lagi, dia memilih untuk membawa keluarganya bercuti ke pulau memandangkan mereka sekeluarga gemarkan aktiviti luar.
"Insya-Allah, mungkin pada hari raya keempat kami sekeluarga akan pergi bercuti dan mungkin saya akan bawa mereka berkungjung ke pulau.
"Memang saya akui jarang dapat bersama keluarga kerana terlalu sibuk dengan pelbagai tugas dan harap-harapnya percutian ini dapat menggantikan masa kami tidak dapat bersama," katanya kepada mStar Online.
Bercakap mengenai perkembangan karier seninya, Fattah berkata, walaupun adakalanya berasa penat dengan segala perhatian diberikan namun dia tidak merungut kerana ia adalah rezekinya.
Akui pelakon drama bersiri Hero Seorang Cinderela ini lagi, sejak memenangi trofi Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH) Mei lalu sahamnya semakin meningkat selain dihujani pelbagai tawaran.
"Alhamdulillah, memang saya tak nafikan 'saham' melonjak sejak menang anugerah itu tetapi ia bukan alasan untuk saya mendabik dada.
"Kemenangan dan perhatian diberikan adalah satu tanggunjawab besar dan berat namun saya bersyukur dengan segala rezeki diberikan Allah," jelasnya.
Sumber : Mstar Online