SEPANG – Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng berazam menawan kembalil puncak Gunung Everest tahun depan setelah misi kali keduanya terencat akibat mengalami sakit dada teruk.
Pendaki berusia 69 tahun itu yang kembali ke tanah air malam tadi kecewa kerana gagal mengharumkan nama negara, kelab dan juga misi peribadinya selepas diberikan peluang kedua menjayakan ekspedisi tersebut.
Ketibaannya dari Kathmandu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Othman Abd. Razak yang juga Naib Presiden Lions Club Port Dickson Pantai (LCPDP), penganjur utama misi yang dikenali sebagai Ekspedisi Gunung Everest (MEE) Lion 2017 itu.
“Secara jujurnya saya amat kecewa kerana sebelum ini tidak pernah berdepan masalah kesihatan serta penyakit gunung akut (AMS) tetapi ia berlaku secara tiba-tiba dan terpaksa akur,” katanya kepada Bernama.
James berkata, pada mulanya misi berjalan lancar ditambah lagi keadaan cuaca yang hampir serupa seperti yang dilaluinya tahun lepas sebelum berubah ketika pendakian menjejak ke Kem 2.
"Saya mula cemas kerana tidak mahu keadaan itu merencatkan misi namun terpaksa mengikut nasihat sherpa untuk turun bagi melakukan ujian kerana jika diteruskan keadaan mungkin akan menjadi lebih teruk kerana cuaca di Kem 3 lebih sejuk dan berangin,” katanya. – BERNAMA