ALOR SETAR - Pengguna serta pembeli dinasihatkan supaya memboikot dan tidak membeli makanan daripada peniaga yang tidak menjaga kebersihan dan mengabaikan keselamatan makanan ketika berniaga di bazar Ramadan sekitar negeri Kedah.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pengguna perlu membuat pilihan yang bijak dan memilih premis yang bersih serta mematuhi peraturan yang ditetapkan demi menjaga kesihatan dan mengelakkan dari terkena kes keracunan makanan.
"Buat masa ini kita tidak terima aduan lagi, tetapi kita ada dengar cakap-cakap orang makan sampai sakit perut, jadi saya mohon pengguna segeralah buat aduan kepada kita agar tindakan tegas dapat kita lakukan," katanya selepas mengadakan "Ops Bazar Ramadan" di Taman Mahsuri di Jitra.
Operasi yang diadakan tersebut dianggotai oleh 40 pegawai dan anggota yang terdiri kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, pegawai Jabatan Kesihatan negeri dan anggota Penguat kuasa Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP).
Operasi tersebut dijalankan bermula pada jam 4.30 petang sehingga jam 7 malam.
Sekiranya peniaga atau pengendali makanan didapati tidak mematuhi etika pemakanan dan tidak menjaga kebersihan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kompaun maksimum sebanyak RM5,000 boleh dikenakan. -Kedahnews.com