SHAH ALAM - Orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing bersempena sambutan Aidilfitri dinasihatkan supaya tidak menggunakan khidmat 'ulat' untuk mendapatkan tiket bas ekspres atau bas tambahan di mana-mana cawangan terminal.
Ketua Jabatan Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata mereka seharusnya membeli tiket daripada pengusaha berdaftar menerusi kaunter penjualan tiket yang dibenarkan sahaja untuk mengelak berlakunya penipuan dan caj harga tiket yang berlebihan.
"Orang ramai yang ingin pulang ke kampung menjelang musim perayaan kali ini diingatkan supaya beli tiket dari mereka yang menjual tiket dalam kaunter dan bukan di luar kaunter.
"Di samping itu, pengguna perlu pastikan tiket bas dicetak dan bukannya ditulis dengan tangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat pemeriksaan kegiatan 'ulat tiket' di terminal bas sementara di Seksyen 13 di sini, semalam.
Mengenai kegiatan 'ulat tiket' menjelang musim perayaan, Che Hasni berkata SPAD mendapati 'ulat-ulat' tiket sentiasa berkeliaran di terminal dan kaunter bas ekspres bagi mencari mangsa yang ingin pulang ke kampung pada saat-saat akhir dengan menawarkan tiket-tiket bas yang tidak dipastikan kewujudannya.
Justeru itu, katanya, pengguna akan menghadapi masalah untuk mendapatkan perkhidmatan bas dan terpaksa menanggung kerugian.
Mengenai operasi hari ini, Che Hasni berkata pihaknya menahan lima individu termasuk warga Indonesia, Kemboja dan Vietnam menerusi kaedah penyamaran setelah didapati menjalankan kegiatan 'ulat' tiket di terminal bas sementara itu.
Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, kelima-lima individu terbabit dijangka dituduh di Mahkamah Shah Alam esok.
Che Hasni dalam pada itu berkata sebanyak 106 individu yang menjalankan kegiatan 'ulat' tiket di sekitar Lembah Klang ditahan SPAD bermula awal tahun ini sehingga semalam.
"Pihak SPAD akan menjalankan pemeriksaan bagi mengekang aktiviti 'ulat' sempena musim perayaan ini di seluruh semenanjung dengan memberi tumpuan kepada terminal-terminal bas terpilih," katanya. – Bernama